Berita Utama

Tiada kompromi pegawai, anggota terbabit seludup PATI

Ketegasan cermin imej ATM sebagai pasukan bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 27 Syawal 1441H, Jumaat – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan sekali-kali berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang terbabit dalam melakukan apa jua kegiatan jenayah.

Ketegasan ini penting kerana ia mencerminkan imej ATM sebagai pasukan keselamatan yang bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata beliau mengesahkan penahanan dua pegawai dan tiga anggota ATM yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri Johor, pada 4 Jun lalu.

“ATM juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjut supaya mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan sindiket penyeludupan PATI ini dapat ditangani sepenuhnya.

“Penahanan mereka ini juga menunjukkan, keberkesanan Operasi Benteng, di bawah pengawasan National Task Force (NTF),” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Beliau berkata, tindakan ini juga membuktikan kesepaduan agensi keselamatan dan penguatkuasaan, bukan sahaja dapat memperkukuhkan kawalan operasi persempadanan negara, malah turut memperkasakan ketelusan dan nilai integriti terutama dalam kalangan pegawai dan anggota ATM.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan kepada media berkaitan penahanan 18 penguatkuasa membabitkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM, susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan PATI.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button