Berita Utama

Tingkat kuasa Agong: Mengapa puak liberal, pro-Barat ‘melompat’?

Mungkin ada gerakan hapus kuasa raja-raja Melayu masa hadapan

BANGI, 27 Syawal 1441H, Jumaat – Gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kesal apabila cadangan mempertingkatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dikecam golongan liberal dan pro-Barat.

Sebelum ini, aktivis hak asasi manusia dikenali sebagai Afiq Noor membuat laporan polis ke atas Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya selain menganggap kenyataan beliau di portal MalaysiaKini menggugat demokrasi Malaysia.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mencadangkan, sebuah sistem semidemokrasi, yang menyaksikan kesemua jawatan menteri termasuk Perdana Menteri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak dijawat oleh wakil rakyat, sebaliknya dipegang oleh golongan teknokrat atau penjawat awam.

“Di bawah Seksyen 124 (B), (C) dan (D) Kanun Keseksaan kerajaan mengehadkan ucapan yang menggugat demokrasi berparlimen,” kata Afiq Noor.

Selain itu, Afiq Noor berkata, cadangan Haji Aminuddin itu turut disifatkan merampas kuasa Perdana Menteri untuk melantik menteri Kabinetnya.

“Cadangan itu juga bersifat menghasut kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” katanya.

Membidas perkara itu, Haji Aminuddin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sekiranya terdapat pihak atau gerakan yang menggesa supaya kuasa raja-raja Melayu dihapuskan atau dihadkan pada masa akan datang.

Beliau berkata, suasana politik yang huru-hara ketika peralihan kuasa Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini telah diselamatkan oleh kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, perkara itu menunjukkan betapa pentingnya peranan raja di Malaysia dan wajar untuk mempertingkatkan dan memperkasakan kuasa diraja.

“Reaksi ‘terlompat’ puak-puak ini menunjukkan kepada kita bahawa mereka suka akan berlakunya huru-hara politik, rasuah-merasuah jawatan dan sebagainya, yang disebabkan oleh perebutan jawatan dan kuasa oleh ahli-ahli politik.

“Cadangan saya ini sebagai solusi yang boleh kita wacanakan demi kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Haji Aminuddin berkata, cadangan yang dikemukakan juga bukan sesuatu yang asing kerana sistem yang hampir sama dengan sistem semidemokrasi telah berjalan melalui pelantikan senator Dewan Negara.

Beliau berkata, sistem itu boleh dikembangkan lagi berikutan jumlah bilangan lantikan senator adalah terhad.

“Melalui sistem ini, ahli-ahli politik tidak lagi berebut untuk menjadi menteri, sebaliknya khusus untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Saya harap perkara ini dapat diwacanakan dan dibahaskan supaya idea ini dapat dikembangkan dan dipermatangkan demi masa depan negara yang lebih cerah dan stabil,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close