Berita Utama

Warga China promosi judi di Malaysia cabar kedaulatan

PEMBELA berterima kasih PDRM, desak KP Imigresen letak jawatan

BANGI, 28 Syawal 1441H, Jumaat – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggesa Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia supaya meletakkan jawatan.

Naib Pengerusinya, Cikgu Izzat Johari membangkitkan perkara itu setelah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 42 warga China pada Selasa, bagi mempromosikan perjudian atas talian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, menahan kesemua suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun, dalam serbuan bermula 5.30 petang itu.

Beliau berkata, hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati modus operandi sindiket ini adalah mempromosikan judi dalam talian bagi pasaran luar negara iaitu China, dengan menggunakan aplikasi WeChat, Whatsapp dan QQChat.

Mengulas lanjut, Cikgu Izzat menyifatkan perkara itu sebagai memalukan selain memperjudi kedaulatan negara.

“Saya berpendapat Ketua Pengarah Imigresen Malaysia adalah kategori ‘bisu’ atau tuli kerana soalan yang mudah: Di mana 100,000 pelancong China dan India yang hilang dalam Malaysia?

“Terima kasih kepada PDRM kerana berjaya berkas 42 warga China yang menjadi sindiket judi. PDRM juga terbaik.

“Sejujurnya saya berasa kasihan kepada semua anggota imigresen kerana mendapat Ketua Pengarah yang lemah malah merosakkan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Cikgu Izzat beberapa kali menggesa Ketua Pengarah Imigresen Malaysia untuk menjawab soalan berkaitan kehilangan 100,000 pelancong China dan India yang tiada rekod keluar daripada negara ini.

Gesaan itu dibuat susulan bimbang dengan ‘kehilangan’ lambakan warga asing yang dikhuatiri memberi ancaman kepada keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.

Terdahulu, laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga 2018.

Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

Negara pernah dikejutkan dengan penangkapan 680 warga China yang aktif menjalankan aktiviti sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar di Cyberjaya.

Kemudian, 87 lagi ditahan di beberapa unit kondominium di sekitar Setiawalk, Puchong juga menjalankan skim pelaburan dan perjudian dalam talian.

Malah, 10 lelaki China pula ditahan kerana terbabit dalam sindiket perjudian atas talian di sebuah apartmen di Batu 9 Cheras, Kajang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close