Berita Utama

5 universiti terbaik, bukti pendidikan negara bertaraf dunia

Kerajaan berharap dapat meletakkan Malaysia di peta dunia

KUALA LUMPUR, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Kejayaan Malaysia meletakkan kelima-lima universiti penyelidikan berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia membuktikan bahawa pendidikan tinggi Malaysia kini bertaraf dunia, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Beliau berkata matlamat itu terkandung dalam pelan strategik pengajian tinggi yang dilancarkan pada tahun 2013 dengan meletakkan sasaran pada 2015 hingga 2025 dengan kerajaan berharap meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai sebuah negara dengan universiti penyelidikan terbaik dunia (hab pendidikan tinggi bertaraf dunia).

Laporan itu dikeluarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2021, pada 10 Jun lalu.

“Kerajaan telah mengusahakan perkara ini, ketika rangka tindakan dilancarkan, Menteri Pendidikan atau Menteri Pelajaran ketika itu adalah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kini).

“Dan hari ini kita dapat lihat sasaran 2015-2025, Malaysia sudah berada di pertengahan jalan dan mendapat pencapaian yang sangat memberangsangkan,” katanya dalam temu bual khas program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Mohamed Mustafa berkata pencapaian ini bukan hanya terbatas kepada lima pengajian sahaja dan tidak boleh lonjakkan semua pengajian dalam satu masa yang sama kerana setiap pengajian tarafnya adalah berbeza.

“Ranking pada hari ini, boleh dikatakan sembilan atau 10 universiti telah melonjak pencapaian mereka selain lima universiti penyelidikan. Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga mempunyai pencapaian baik, ada yang sudah cecah tangga 379 seperti Taylor’s University, UCSI University,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pencapaian itu adalah menyeluruh dan menunjukkan bahawa pelaburan kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah membuahkan hasil.

Kelima-lima universiti berkenaan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Ranking ini bukan sekadar anak tangga meningkat, ia juga adalah satu penunjuk atau benchmark kualiti atau mutu pendidikan tinggi Malaysia. Harus diingatkan kalau mahu jadi hab pendidikan, kita mesti mampu bersaing dengan universiti terkemuka lain,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KPT masih merancang dan mengatur bagi pembukaan sepenuhnya pengajian tinggi yang berkemungkinan beroperasi sepenuhnya tetapi hanya 1/3 pelajar sahaja yang belajar secara bersemuka kerana perlu menjaga jarakan sosial.

“Mungkin juga 2/3 pelajar, belajar secara dalam talian, mungkin minggu ini bersemuka, minggu depan belajar dalam talian, ambil giliran,” katanya mengulas mengenai perkembangan terkini pembukaan semula IPT yang ditutup berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close