Berita Utama

700 polis bertugas pantau PRK Chini

Setakat hari ini menyaksikan proses berjalan aman

PEKAN, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Kira-kira 700 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Chini.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata setakat hari ini yang menyaksikan proses penamaan calon berlangsung, keadaan di seluruh kawasan DUN Chini aman dan terkawal.

“Alhamdulillah proses penamaan calon berjalan lancar dan aman. Tiada sebarang provokasi dan perarakan calon berlaku,” katanya kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan dekat sini hari ini.

Beliau berkata bagi proses penamaan calon pada hari ini, seramai 399 anggotanya telah ditempatkan seawal 6 pagi bagi menjaga keselamatan dan mengawal pergerakan trafik di sekitar IKBN Pekan.

Sementara itu, katanya 15 pasukan yang turut dianggotai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melakukan pemantauan terhadap perjalanan kempen semua calon dalam PRK ini.

Beliau berkata antara yang akan dipantau ialah pelaksanaan kempen rumah ke rumah yang hanya boleh disertai oleh tiga orang dan ceramah statik yang cuma boleh disertai maksimum 250 orang, berikutan PRK kali ini diadakan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi memerangi pandemik COVID-19.

“Saya ingin menasihatkan agar semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh SPR kerana tindakan boleh diambil terhadap pihak yang tidak mematuhinya,” katanya.

Abd Jalil berkata polis juga akan berbincang dengan SPR mengenai kebenaran bagi mengadakan ceramah statik di tempat tertutup kerana wabak COVID-19 lebih mudah merebak di kawasan tertutup.

“Bagi masa ceramah pula setakat ini dibenarkan sehingga jam 12 malam tetapi perkara ini juga masih dibincangkan dengan SPR,” katanya.

SPR telah mengeluarkan SOP baharu khusus bagi PRK Chini, untuk mengelakkan berlaku ‘kluster pilihan raya’, dalam keadaan negara sudah semakin berjaya mengawal penularan wabak COVID-19.

PRK DUN Chini pada 4 Julai ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon bebas iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, serta Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, bagi merebut kekosongan kerusi DUN Chini yang ditinggalkan penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Abu Bakar, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas pada 6 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button