Dunia

Agamawan Uyghur mangsa utama penganiayaan China

Sejak tahun 2016, lebih 518 pemimpin agama, imam ditahan

BEIJING, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Keluarga etnik Islam Uyghur termasuk para sarjana mendakwa, golongan agamawan merupakan mangsa atau sasaran yang paling terdedah dengan penganiayaan oleh kerajaan komunis China.

Uyghur Hjelp iaitu organisasi bantuan dan sokongan kepada etnik berkenaan yang berpusat di Norway memaklumkan, pihak berkuasa China sejak dari tahun 2016 menahan sekurang-kurangnya 518 pemimpin agama termasuk imam.

Salah seorang daripada imam berkenaan adalah Abdurkerim Memet yang dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun sejak dari 2017, kata anaknya, Hajihenim Abdukerim yang kini berada di Makkah.

Hajihenim berkata, pihak berkuasa China merahsiakan perihal berkenaan bapanya selama setahun sebelum penduduk tempatan di Xinjiang memberitahunya berkenaan keadaan sebenar.

Katanya, bapa beliau bekerja dengan kerajaan sehingga lewat 2016 sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk menguatkuasakan sistem perundangan diluluskan Beijing ke atas penduduk di Xinjiang.

Kebanyakan mereka diletakkan di pusat tahanan atas kesalahan yang tidak jelas, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa, lebih daripada sejuta etnik Uyghur ditahan di dalam kem berkenaan.

Keluarga Abdurkerim menolak dakwaan China bahawa bapa mereka menyebarkan agenda keganasan dalam kalangan penduduk Uyghur.

“Bapa saya seorang yang cintakan keamanan dan seorang ahli agama yang patuh kepada undang-undang.

“Saya tak boleh bayangkan bagaimana bapa saya duduk di dalam penjara, padahal selama ini beliau banyak berbakti kepada komuniti.

“Saya hanya berharap untuk dapat bertemu beliau semula,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button