Berita Utama

Bekalan elektrik tidak akan dipotong sehingga 30 September: TNB

Pembaca meter tak bertugas ketika PKP lepas dapat pandangan MKN

PUTRAJAYA, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersetuju untuk menghentikan aktiviti pemotongan bekalan elektrik sehingga 30 September ini bagi pengguna dengan bil elektrik tertunggak, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Justeru, beliau berkata pengguna tidak perlu risau kerana bekalan elektrik tidak akan dipotong sekiranya mereka menghadapi kesukaran kewangan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas susulan penularan COVID-19.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung isu bil elektrik di sini, hari ini. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Razib Dawood.

Ditanya sebab pembaca meter TNB tidak bertugas semasa PKP yang menyebabkan berlaku peningkatan bacaan, Shamsul berkata, TNB tidak membenarkan mereka keluar membuat bacaan meter selepas mendapat pandangan pelbagai pihak terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Keputusan itu atas nasihat MKN mengambil kira kepentingan pelbagai pihak,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, TNB mengikut saranan kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Beliau berkata, TNB hanya fokus kepada perkhidmatan penting yang ada bagi memastikan bekalan elektrik tidak terganggu semasa PKP kerana pengguna sentiasa berada di rumah.

TNB mempunyai sistem untuk mengira bacaan apabila bil terlambat dan tatacara pengiraan adalah teratur yang juga diluluskan ST.

Para pembaca meter TNB telah memulakan tugas sejak 15 Mei selepas status perkembangan COVID-19 di negara berubah dengan kes harian berkurangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button