Berita Utama

COVID-19: Kluster baharu dikesan di Labu Lanjut

21 kes baharu dilaporkan, dua kes import

KUALA LUMPUR, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Satu kluster baharu COVID-19 dikesan di Labu Lanjut, Sepang, membabitkan lima kes positif setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster berkenaan ialah seorang pesakit yang dirawat untuk Acute Respiratory Infection (ARI) di Hospital Serdang yang dikesan positif pada 5 Jun lepas.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif (ACD) mendapati bahawa empat ahli keluarga beliau iaitu dua orang anak dan dua cucu juga telah dikesan positif COVID-19. Tiga ahli keluarga tinggal serumah dengan beliau manakala seorang lagi dari tempat kediaman yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini seramai 29 orang kontak rapat telah dikenalpasti serta disaring, dan daripada jumlah itu 25 kontak rapat didapati negatif COVID-19.

Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan, namun penularan COVID-19 disyaki mungkin berkaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung, kata beliau.

Berhubung trend semasa COVID-19 di Malaysia, beliau berkata terdapat 21 kes baharu yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 8,556 kes.

“Daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Daripada 19 kes penularan di dalam negara, tujuh membabitkan bukan warganegara manakala 12 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 289 kes, kata beliau.

Dr Noor Hisham berkata, kes pulih dan dibenarkan discaj pula merekodkan 76 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 8,146 kes atau 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button