Berita Utama

COVID-19: Malaysia, Indonesia tingkat kerjasama pelancongan

Khususnya selepas keadaan telah selamat daripada wabak

KUALA LUMPUR, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Malaysia dan Indonesia akan mengeratkan kerjasama dalam usaha menyuburkan kembali industri kedua-dua yang terjejas akibat kesan pandemik COVID-19, apabila keadaan telah selamat untuk perjalanan antarabangsa, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata kedua-dua negara juga sedang bekerjasama dengan negara anggota dan gagasan ekonomi ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), Pertumbuhan Segitiga Indonesia–Malaysia–Thailand (IMT-GT), dan Kawasan Pembangunan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) bagi tujuan itu.

“Contohnya kami sedang bekerjasama ke arah merumuskan prosedur operasi standard (SOP) meluas ASEAN bagi memberi kemudahan kepada para pelancong tanpa meminggirkan aspek penting mengenai kesihatan dan keselamatan kelompok barisan hadapan – pelancong dan petugas pelancongan.

“.. juga dalam aspek penggunaan teknologi digital bagi menyokong usaha pemulihan aktiviti pelancongan dan membantu dalam mengelak penularan COVID-19, mengembalikan keyakinan pelancong terhadap keselamatan dan kesihatan di destinasi pelancongan ASEAN.

“Ia menerusi komunikasi efektif, pelaksanaan Pemasaran Pelancongan ASEAN yang sistematik dan efektif, serta Pelan Promosi menerusi kolaborasi strategik dengan pemain industri pelancongan dan lain-lain pemegang taruh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan secara langsung Facebook bersama dengan Timbalan Menteri bagi Pemasaran, Kementerian Pelancongan dan Agensi Ekonomi Kreatif Indonesia Nia Niscaya yang dihoskan oleh Travel Industry Network Media bagi membincangkan isu mengenai Peluang Kerjasama Pelancongan Serantau pasca-COVID-19.

Nancy berkata apabila keadaan telah selamat untuk perjalanan antarabangsa, kedua-dua negara jiran itu akan bekerjasama rapat bagi membantu dalam melancarkan pergerakan pelancong di sempadan negara masing-masing.

“Mari kita pusatkan tumpuan kita kepada usaha memerangi pandemik ini dan berharap keadaan akan bertambah baik supaya kita dapat membuka pintu sempadan negara secepat mungkin,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close