Berita Utama

Cuba ‘kudakan’ Bersatu, DAP masih ancaman paling bahaya

Sokong Tun M kerana percaya mampu capai cita-cita politik mereka

BANGI, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Parti tamak haloba, DAP masih menjadi ancaman paling bahaya dalam senario politik terkini negara, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad. 

Beliau berkata, DAP hanya menyokong individu dan pihak yang parti itu boleh ‘kudakan’ untuk mendapat kuasa, seperti mana sejarahnya memanipulasi PAS serta PKR, dan yang terkini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

Oleh sebab itu, DAP kekal sokong Tun Dr Mahathir Mohamad – meskipun beliau sudah tiada sebarang pengaruh kuasa – untuk menjadi Perdana Menteri semula kerana licik dan faham, hanya bekas Pengerusi Bersatu itu sahaja yang boleh ‘turn over’ keadaan politik Malaysia untuk mencapai cita-cita politiknya, kata Muhammad Lukman. 

“Anwar Ibrahim kurang pengaruh di kalangan Ahli Parlimen dan para pelobi kapitalis untuk lakukan perkara yang sama seperti Tun M. 

“Ahli PKR sendiri pun kini sudah berpecah dan semakin kurang kepercayaan kepada beliau,” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) mahu Pakatan Harapan (PH) memilih Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal memperoleh sokongan. 

Dalam kenyataan bersama, parti berkenaan berkata, Anwar hanya mampu mendapat sokongan maksimum 96 Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri, dan usaha menarik sokongan dari Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak berjaya selepas tempoh dipersetujui tamat. 

PH terus berdepan konflik dalaman dengan isu perebutan kuasa Perdana Menteri antara Anwar dan Dr Mahathir meskipun sudah tidak lagi menjadi kerajaan. 

Ketika PH memerintah, DAP antara parti yang kuat mendesak Dr Mahathir menunaikan janji peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar. 

Bagaimanapun, setelah PH tumbang – akibat tindakan daripada parti itu sendiri – DAP kemudiannya bertukar pendirian dan kononnya kekal menyokong Dr Mahathir menjadi perdana menteri. 

DAP pernah membentuk kerjasama politik dengan PAS dan PKR menerusi Pakatan Rakyat. Selepas PR dibubar, PKR dan DAP bekerjasama dengan dua parti serpihan daripada UMNO dan PAS iaitu Bersatu serta PAN di dalam PH. 

Muhammad Lukman berkata, semua parti itu berpecah dari dalam akibat tidur satu selimut dengan DAP. 

“Hanya DAP yang kekal kuat dan bersatu. Bahkan, semakin kuat dengan pergolakan politik yang amat tidak stabil kini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button