Berita Utama

Desak mahukan kerusi Tg Malim, bukti angkuhnya MCA

Baru ada 2 kerusi Parlimen tapi lagak umpama tak pijak tanah

BANGI, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA menyelar sikap tamak haloba parti perkauman MCA, yang mahu mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Malim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Hazwan Mohamad berkata, selepas memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor pada 16 November tahun lalu, kini MCA mendesak inginkan kerusi Parlimen Tanjung Malim di Perak pula.

“Diberi satu kerusi, didesak satu lagi kerusi.

“Dulu walau satu kerusi punyalah angkuh. Bila dah ada dua, pijak tanah pun tidak,” katanya sinis, hari ini.

Terdahulu, MCA Bahagian Tanjung Malim tidak akan beralah dan tetap akan mempertahankan kerusi Parlimen itu pada PRU-15 akan datang.

Ketuanya, Goh Choong Seng berkata, mereka akan mengemukakan calon bertanding di Parlimen itu yang juga kawasan tradisi ditandingi MCA.

“Persoalan tentang siapa yang patut bertanding dan di mana merupakan isu besar yang perlu diputuskan oleh kepimpinan Pusat bukannya kepimpinan bahagian.

“Bagaimanapun kami akan tetap mempertahankan kerusi ini sebagai kawasan tradisi MCA dan akan terus meletakkan calon,” katanya.

Pada PRU-14 lalu, MCA gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Malim apabila calonnya, Datuk Dr Mah Hang Soon (Timbalan Presiden MCA) yang menggantikan penyandang, Datuk Seri Ong Ka Chuan tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang dengan majoriti 5,358 undi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button