Berita Utama

Kerajaan laksana pendekatan terbaik urus sektor tenaga

Bantuan Prihatin Elektrik ringankan beban bil ketika tempoh PKP

KUALA LUMPUR, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Pendekatan yang dilaksanakan kerajaan bagi menguruskan sektor tenaga adalah yang terbaik setakat ini, terutamanya dari aspek kawal selia, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sehubungan itu, tegasnya, adalah wajar aspek pengurusan tenaga itu dikendalikan oleh satu pihak seperti kerajaan daripada pembabitan banyak pihak, yang boleh mencetuskan masalah apabila berlaku isu-isu berkaitan.

“Sektor ini penting kepada kerajaan. Malah, apa yang (telah) kita lakukan ini adalah yang terbaik untuk membolehkan kita menangani isu-isu seperti yang berlaku pada hari ini.

“Sebaliknya, jika (sektor) tenaga ini (dikendalikan oleh) banyak pihak, ini akan menyusahkan kita untuk membuat kawalan. Oleh itu, pendekatan yang dilaksanakan kerajaan setakat ini adalah yang terbaik,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan sama ada persaingan wajar diwujudkan dalam sektor tenaga.

Pada sidang media sama, Shamsul Anuar berkata, selain memerangi penularan COVID-19, kerajaan juga sentiasa mengambil langkah berterusan bagi meringankan beban rakyat, termasuk memperuntukkan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan berjumlah RM942 juta.

Beliau berkata, ini bagi meringankan beban bil elektrik rakyat semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan kurang RM77 atau penggunaan di bawah 300kWj, akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan di bawah bantuan itu.

Shamsul Anuar berkata, pengguna yang terbabit akan mendapat bekalan elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun yang akan dikreditkan dalam bil bulan Julai.

“Pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj akan menerima potongan bil elektrik sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan bagi April, Mei dan Jun,” katanya.

Beliau berkata, bantuan ini adalah tambahan kepada diskaun bil elektrik di bawah Bantuan Prihatin Elektrik yang telah dilaksanakan sejak 1 April lepas. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close