Berita Utama

Penghina Agong biadab, tunjuk sikap melampau benci institusi diraja

Netizen Cina hina Sultan Abdullah langgar prinsip Rukun Negara

BANGI, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Kerajaan perlu mengkaji semula akta sedia ada bagi memastikan hukuman setimpal dikenakan terhadap mana-mana individu menghina Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Media MUAFAKAT, Haji Rashidi Haris berkata, sekiranya hukuman yang ada masih terlalu ringan sehingga rakyat biadab dan berani sesuka hati menghina baginda, maka undang-undang tegas perlu dilaksana sebagai pengajaran.

Katanya, walaupun Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang terhadap mereka yang menghina raja namun ianya masih belum digunakan sepenuhnya.

Sebaliknya di Thailand, kata beliau, negara jiran itu sangat memandang serius perbuatan rakyatnya yang menghina raja mereka hingga ada yang dihukum penjara antara sehingga 18 tahun dan sehingga 150 tahun.

“MUAFAKAT mengesyorkan supaya Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dipinda kepada (hukuman) yang lebih keras lagi. Negara disanjung apabila Rajanya berdaulat, maka negara perlu melindungi Raja supaya negara itu dijunjung tinggi dan dihormati.

“Yang di-Pertuan Agong bukan hanya simbol negara tetapi baginda adalah tonggak kedaulatan negara.

“Menghina Yang Di-Pertuan Agong sama seperti kita menghina negara sendiri di mata negara lain kerana baginda merupakan ketua bagi negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, laman Facebook Istana Negara memuat naik beberapa gambar Seri Paduka bersendirian menikmati roti tempayan yang dihidangkan dalam pinggan, tanpa sebarang protokol dan penuh santai duduk di atas bangku plastik yang disediakan di kedai terbabit.

Baginda ketika itu dilaporkan dalam perjalanan dari Program Ziarah Kurniaan Ampun Kasih ke Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Sungai Soi yang menempatkan 40 individu kurang bernasib baik.

Bagaimanapun, di ruangan komen Facebook Sin Chew Daily, segelintir netizen Cina menghina Agong dengan mendakwa baginda hanya berlakon untuk menjadi ‘mesra rakyat’ bahkan ada yang mempersoalkan sama ada tindakan Sultan Abdullah bersantap di kedai roti tempayan itu sebagai perbuatan menunjuk-nunjuk.

Membidas komen biadab itu, Haji Rashidi berkata, tindakan sedemikian jelas dan terang-terangan menunjukkan sikap kebencian yang melampau melanggar prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana hendak dikatakan individu yang mengeluarkan sindiran kepada Agong sebagai rakyat yang setia sedangkan semangat kesetiaan tidak ada.

“Paling tidak jika seorang itu tidak suka kepada sesuatu atau kepada seseorang apatah lagi terhadap Ketua Eksekutif Negara maka adalah baik dia berdiam diri daripada memberi komen negatif.

“Dan sikap ‘berdiam diri’ ini pula selaras dengan prinsip dalam Rukun Negara yang terakhir iaitu Kesopanan Dan Kesusilaan.

“Kesopanan itu sahaja amat berkait dengan adab yang dalam Islam amat menekan bab ini pada setiap permulaan pengajian iaitu pendidikan bermula dengan adab, iaitu adab antara murid terhadap gurunya dan guru terhadap muridnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button