Berita Utama

PRK Chini: Bilik gerakan SPRM dibuka

Orang ramai boleh salur maklumat perbuatan rasuah, salah guna kuasa sepanjang PRK

BANGI, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalur maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah serta salah guna kuasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini. 

SPRM dalam satu kenyataan berkata, bilik gerakan itu ditempatkan di dua lokasi iaitu Kompleks SPRM Pahang dan Pejabat Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Chini Satu. 

Katanya, bilik gerakan di Kompleks SPRM Pahang hanya beroperasi pada waktu pejabat sahaja, sementara di Pejabat JKKK pula 24 jam. 

“Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui talian Hotline PRK Chini 013-5485988/ 09-5716000 atau e-mel kepada [email protected]

“Dalam pada itu, SPRM juga mengingatkan kepada calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012),” katanya. 

PRK DUN Chini pada 4 Julai ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas. 

Ia membabitkan antara Mohd Sharim Md Zain, 41, yang mewakili BN dan ahli perniagaan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, serta aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 30 Jun sebagai tarikh pengundian awal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button