Berita Utama

Rakyat muak ‘the never ending’ siri drama rebut kuasa Tun M, Anwar

Bersaralah secara terhormat, biar Malaysia fokus tingkat ekonomi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Rakyat sudah muak dan cuak dengan ‘the never ending’ siri pergolakan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim – menerusi perebutan kuasa Perdana Menteri – selama 22 tahun sehingga sekarang, kata Timbalan Ketua Wanita Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Asral Widad Ahmad Asnawi. 

Justeru, dua pemimpin berkenaan dinasihat supaya bersara secara terhormat bagi memberi ruang kepada rakyat dan Malaysia fokus meningkatkan ekonomi serta mendapatkan kembali kepercayaan pelabur dengan suasana politik negara yang stabil. 

Beliau mengingatkan Dr Mahathir dan Anwar supaya berhenti menyibukkan rakyat dengan sandiwara yang tiada penghujung kerana Malaysia bukan milik dua pemimpin berkenaan sahaja. 

Beliau berkata, 22 bulan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) – yang didominasi DAP – sepatutnya memberi pengajaran yang mendalam kepada semua rakyat Malaysia, apatah lagi dengan drama perebutan kuasa yang tidak berkesudahan antara dua figura politik itu. 

Tidak mahu rakyat terus hanyut dengan ‘drama’ politik itu, beliau dan Wanita BERJASA menggesa seluruh masyarakat supaya terus berusaha mendesak pelbagai parti politik di Malaysia untuk sepakat dalam semua perkara membabitkan kepentingan rakyat serta negara dalam kerangka Perlembagaan. 

“Peringatan untuk PN, sudah-sudahlah bergaduh berbahagi ghanimah kerana kepentingan peribadi dan parti. Mengakar umbikan seruan ‘evergreen’ yang asalnya dari ISMA dan BERJASA sejak 2010 iaitu Melayu Sepakat Islam Berdaulat yang kini dimanifestasi melalui Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS. 

“Namun ianya haruslah difahami dengan rohnya yang sebenar iaitu sepakat itu bukan fokusnya kepada dua parti politik besar ini sahaja, ia harus melangkaui parti politik Melayu yang lain juga seperti BERJASA, Ikatan, Putra, Bersatu dan mengambil kira penglibatan NGO Islam seperti PEMBELA dan MACSA,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Asral Widad berkata, rakyat juga mesti mendesak untuk meletakkan calon Islam wibawa terutamanya di kawasan majoriti muslim, meskipun ada yang mendakwa ia kerusi tradisi dan mengugut untuk keluar dari pakatan. 

“Sejarah telah terbukti apabila MCA menang kerusi Parlimen, MCA sering menghiris jiwa rakyat Malaysia yang cintakan negara dengan pelbagai seruan khianat mereka antaranya hapuskan Jawi, iktiraf UEC dan sebagainya. 

“MCA, MIC, Gerakan gelanggang mereka adalah untuk berhadapan ‘head on’ di semua tempat DAP dan bukan di tempat majoriti muslim,” katanya. 

Pada masa sama, beliau turut menggesa supaya rakyat memahami dan akur kerangka Malaysia yang menjunjung Rukun Negara, raja Perlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan dan menghormati hak Bumiputera. 

“Perbalahan yang berlaku mesti ditamatkan segera dengan menggunakan kuasa rakyat yang menolak mereka ahli politik yang terpalit dengan kes rasuah, juga menolak pemimpin yang mudah diperkudakan oleh agenda asing serta tamak kepentingan diri, keluarga dan parti.,

“Mereka ini perlu digantikan dengan pemimpin masa depan yang berprinsip, berintegriti, berakhlak serta mendaulatkan agama dan watan negara,” katanya. 

PH terus berdepan konflik dalaman dengan isu perebutan kuasa Perdana Menteri antara Anwar dan Dr Mahathir meskipun sudah tidak lagi menjadi kerajaan. 

Ketika PH memerintah, DAP antara parti yang kuat mendesak Dr Mahathir menunaikan janji peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar. 

Bagaimanapun, setelah PH tumbang – akibat tindakan daripada parti itu sendiri – DAP kemudiannya bertukar pendirian dan kononnya kekal menyokong Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button