Dunia

Sirap batuk toksik beri ancaman global berterusan: WHO

Ubatan tercemar dibimbangi masih boleh ditemukan kerana bahan penting kekal di gudang

LONDON, 28 Zulkaedah 1444H, Sabtu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini bekerjasama dengan lebih enam negara untuk mengesan ubat-ubatan kanak-kanak yang berpotensi menyebabkan kematian.

Ini berikutan, terdapat ancaman global berterusan yang wujud akibat pengambilan sirap batuk toksik sebelum ini.

WHO sudah menamakan sembilan negara yang berkemungkinan menjual sirap batuk tercemar itu di pasaran, selepas kematian lebih 300 kanak-kanak di tiga benua tahun lalu berkait dengan ubatan itu.

Bagaimanapun, ketua pasukan WHO yang menyiasat insiden ubat substandard dan dipalsukan, Rutendo Kuwana berkata, pihaknya tidak akan mendedahkan enam negara baharu yang bekerjasama sementara siasatan masih dijalankan.

Kuwana memberi amaran bahawa ubat-ubatan tercemar masih boleh ditemui untuk beberapa tahun lagi, kerana tong tercemar bahan penting mungkin kekal disimpan di dalam gudang.

Sirap batuk dan ramuannya, propylene glycol kedua-duanya mempunyai jangka hayat sekitar dua tahun.

“Ini adalah risiko yang berterusan,” katanya.

Pada Januari, WHO menamakan empat negara lain yang bekerjasama dengannya – Timor Leste, Kemboja, Senegal dan Filipina – untuk mengesan sama ada mana-mana sirap tercemar telah masuk ke pasaran mereka.

Kuwana memaklumkan, tiada risiko semasa kepada penduduk di negara yang dinamakan WHO, sama ada kerana ubat tercemar telah dikeluarkan daripada rak atau ia tidak pernah sampai ke pasaran sejak awalnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button