Berita Utama

Tak patut ilmuwan berdiam diri dengan keadaan politik negara

Gesaan 115 ilmuan PhD sokong Muhyiddin selaras perkembangan semasa

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Gesaan 115 ilmuwan doktor falsafah (PhD) institusi pengajian tinggi (IPT) supaya memberi penghormatan kepada kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan perkembangan semasa, kata Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid.

Penganalisis politik itu yakin tindakan berkenaan perlu kerana tidak sesuai sekiranya ilmuwan hanya berdiam diri, membutakan mata, memekakkan telinga dengan apa yang berlaku kepada politik negara.

“Saya rasa kalau profesor di universiti hanya berhadapan dengan kuliah di universiti tanpa menghiraukan apa yang berlaku, itu tidak sepatutnya berlaku.

“Begitulah yang kita mahu sekarang ini, kementerian kata pensyarah universiti hendaklah melihat apa yang berlaku di luar, memberikan sumbangan, pandangan dan sebagainya.

“Oleh itu, saya berpandangan apa yang dilakukan gabungan 115 orang ini selaras dengan perkembangan semasa untuk sama-sama membina serta memberi sesuatu perkara positif kepada pembangunan dan kestabilan politik negara khususnya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, seramai 115 ilmuan berkelulusan PhD daripada universiti tempatan mengeluarkan kenyataan bersama bagi meminta sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka terdiri daripada dua profesor emeritus, 21 profesor, 35 profesor madya dan 57 pensyarah kanan daripada 21 universiti awam (IPTA) dan empat universiti dan kolej universiti swasta (IPTS).

Golongan itu menggesa semua golongan rakyat memberi penghormatan dan sokongan penuh kepada kerajaan semasa yang diketuai Muhyiddin untuk mengemudi negara sehingga dikembalikan mandat untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengikut peruntukan ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga meminta semua pihak mengangkat tinggi nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan, melaksanakan urus tadbir yang baik serta memastikan kontrak sosial dan peruntukan teras Perlembagaan Persekutuan khususnya identiti nasional yang berlandaskan identiti Melayu-Muslim, dipatuhi setiap masa.

Menurut kenyataan itu lagi, parti politik yang membentuk kerajaan perlu bergabung secara rasmi di dalam wadah Perikatan Nasional (PN) yang perlu didaftarkan bagi membolehkan ia berfungsi dengan lebih berkesan dalam mencari penyelesaian kepada segala permasalahan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Selain itu, semua parti politik yang membentuk barisan pembangkang diseru bergabung secara rasmi di dalam wadah Pakatan Harapan (PH) dan membentuk Kabinet bayangannya sendiri bagi membolehkan ia berfungsi dengan lebih berkesan di dalam memainkan peranan semak dan imbang yang sihat dan membina kepada kerajaan semasa.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Noor yang juga salah seorang dari 115 ilmuan berkenaan berkata, semua harus ingat bahawa kerajaan pada hari ini tidak akan berkuasa selama-lamanya dan tertakluk kepada keputusan rakyat melalui pilihanraya umum.

“Jadi peranan pembangkang dan kerajaan adalah membentuk kestabilan, keharmonian politik dalam negara khususnya ketika kita menuju ke arah negara maju. Sebagai sebuah negara maju, kita perlu mewujudkan sistem dua parti sebagaimana yang diamalkan oleh kebanyakan negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close