Berita Utama

Tamak! MCA ugut keluar BN demi kerusi majoriti Melayu?

Kenapa tak isi sahaja kerusi ditinggalkan Gerakan seperti di P.Pinang

BANGI, 28 Syawal 1441H, Sabtu – Apakah UMNO akan bertolak ansur lagi dengan MCA untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti dengan menggadaikan kerusi majoriti Melayu kepada parti berkenaan, dan pada masa sama bakal berebut kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, lebih baik dan rasional jika kerusi-kerusi majoriti Melayu, termasuk yang ditandingi oleh MCA dahulu dibahagi-bahagikan antara UMNO, Bersatu serta parti-parti Melayu lain juga. 

Beliau berkata, memandangkan Gerakan telah meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan kerusi ditandinginya sangat banyak, maka MCA sepatutnya fokus untuk mengisi kekosongan itu. 

“Tetapi, tidak mustahil juga MCA memang tamak jika mahukan kerusi majoriti Melayu dan kerusi majoriti bukan Melayu yang ditinggalkan oleh Gerakan. 

“Sebagai contoh, kerusi-kerusi di seluruh Pulau Pinang yang didominasi oleh DAP, kenapa MCA tidak mahu fikir pula selepas Gerakan sudah tinggalkan BN? Apakah MCA mahu DAP terus memerintah Pulau Pinang?,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Menurut Haji Aminuddin, mungkin ramai tidak perasan bahawa MCA dan UMNO bahagian Tanjung Malim bergaduh apabila parti Melayu itu menyatakan keinginan untuk bertanding di kawasan berkenaan pada PRU akan datang, dan MCA berhujah kononnya itu adalah ‘kerusi tradisinya’.

Beliau berkata, UMNO sememangnya lebih berhak bertanding di Tanjung Malim memandangkan majoriti penduduknya adalah orang Melayi beragama Islam, manakala kaum Cina hanyalah 20 peratus. 

“Apa yang menarik perhatian saya dalam isu ini ialah, situasi serupa dengan peristiwa PRK Tanjung Piai yang lalu di mana UMNO dan MCA di kawasan tersebut saling berbalah berkenaan kerusi sehinggalah MCA mengugut untuk keluar BN. 

“Akhirnya UMNO terpaksa berkempen untuk memenangkan calon BN walaupun tidak rela tetapi apakan daya, mereka tidak sanggup lihat BN kalah walaupun ada alternatif calon Melayu lain iaitu Berjasa,” katanya. 

Haji Aminuddin berkata, beliau tidak menolak MCA akan guna ‘modus operandi’ yang sama untuk PRU akan datang kerana peluang menang kerusi Parlimen atau DUN hanyalah di kawasan majoriti Melayu memandangkan parti itu tahu pengundi Melayu akan setia dengan ‘lambang dacing’. 

“Kita sudah saksikan, wakil-wakil rakyat MCA yang memenangi kerusi majoriti Melayu selama ini tidak pernah pun menyebelahi agenda Melayu dan Islam. Malah, mereka melukakan hati kita lagi dengan kenyataan-kenyataan mereka terutamanya dalam membela sekolah vernakular, isu jawi dan sebagainya. 

“Saya harap agar rakyat di akar umbi dapat bangkit memulakan gerakan bagi mendesak blok-blok parti politik, sama ada PN atau PH untuk meletakkan calon-calon yang sesuai terutamanya di kawasan majoriti Melayu muslim,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button