Berita Utama

Petisyen Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak raih 11,205 tandatangan

Tuntut kerajaan tetapkan polisi komuniti bebas arak

BANGI, 13 Rejab 1443H, Rabu – Lebih 11,000 tandatangan berjaya dikumpulkan menerusi petisyen dalam talian ‘Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ hari ini.

Setakat jam 10.30 pagi tadi, petisyen yang dilancarkan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Yayasan Maghfirah itu meraih 11,205 tandatangan.

Turut bersama membawa kempen gergasi ini kepada rakyat Malaysia berkenaan bahaya arak kepada masyarakat adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PEACE, Indahnya Islam, PEMBELA dan ACCIN.

Menerusi laman change.org, penggerak kempen berkata, ia bukan sahaja disasarkan kepada orang Islam, namun untuk setiap lapisan masyarakat termasuk bukan Islam.

“Ini kerana, kita percaya bahawa kesan arak ini kepada masyarakat sangatlah besar. Bahkan, dalam mana-mana agama pun melarang penganutnya meminum arak,” katanya.

Gabungan itu berkata, kempen ini akan berjalan sepanjang Februari sehingga Mac di seluruh negara.

Katanya, ia bukan sahaja berjalan daripada aspek kesedaran sahaja, tetapi turut menyentuh polisi-polisi negara.

Ini termasuklah tatacara jualan arak di kedai-kedai serta penguatkuasaan undang-undang sedia ada terhadap apa-apa yang berkaitan dengan arak.

“Dengan langkah praktikal ini, empat tuntutan kempen ini; pertama, menuntut kerajaan agar menetapkan polisi komuniti bebas arak supaya tiada lagi program yang menghidangkan arak secara terbuka dan umum.

“Kedua, menuntut PBT agar menguat kuasa dan memperkemas undang-undang berkaitan arak serta memperketatkan lagi syarat-syarat membeli dan menjual arak.

“Ketiga, menuntut PBT agar tidak membenarkan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka di kawasan majoriti muslim,” katanya.

Sementara yang terakhir, katanya, adalah menuntut pihak berkuasa agar membuat pemeriksaan dan pemantauan yang lebih ketat ke atas pemandu-pemandu mabuk terutamanya di waktu malam.

“Oleh itu rakyat Malaysia, mari sama-sama kita tandatangan dan sebarkan petisyen ini sebagai usaha kecil kita sehingga ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’,” katanya lagi.

Pautan petisyen; https://www.change.org/p/sejuta-rakyat-bantah-arak

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button