Berita Utama

11 PATI dalam bot nelayan tempatan ditahan

Terdiri warga Indonesia, Myanmar berusia 17 hingga 40 tahun

LUMUT, 29 Syawal 1441H, Ahad – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama tiga bot nelayan tempatan di perairan Hutan Melintang kira-kira 6.4 batu nautika Barat Daya Sungai Belukang dekat Bagan Datuk, kelmarin.

Penahanan dilakukan Kapal Maritim Malawali menerusi Op Benteng Laut kira-kira jam 7.15 malam selepas didapati melakukan kesalahan menangkap ikan di bawah 12 batu nautika.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, warga Indonesia dan Myanmar itu berusia lingkungan 17 hingga 40 tahun dan bekerja di atas bot berkenaan.

“Semua PATI disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata, kesemua mereka menjalani prosedur saringan COVID-19) dan diletakkan di Pejabat Daerah Manjung sementara menunggu keputusan.

Shahrizan mengalu-alukan kerjasama orang ramai menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat dalam usaha menggempur PATI yang masuk melalui sempadan perairan negara.

“Kita akan mengumpul aduan salah laku yang disalurkan dan bertindak mengikut masa yang sesuai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button