Berita Utama

Rebat gangguan elektrik tertakluk GSL

Siasatan punca dan kesan gangguan akan menjadi asas penentuan rebat

BANGI, 2 Muharram 1444H, Ahad – Rebat gangguan elektrik yang akan diberikan kepada pengguna terjejas akibat bekalan elektrik terputus di beberapa negeri baru-baru ini adalah tertakluk kepada Standard Prestasi Perkhidmatan (GSL) Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, GSL akan menjadi asas penentuan sama ada pelanggan terlibat layak diberikan rebat atau tidak.

“GSL merupakan dokumen yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam memastikan kualiti bekalan elektrik dan perkhidmatan yang diberikan oleh TNB dalam keadaan yang terbaik.

“Sekiranya pihak TNB gagal mematuhinya, penalti akan dikenakan dalam bentuk rebat kepada pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, kira-kira sejuta pengguna di beberapa buah negeri terjejas berikutan gangguan bekalan elektrik yang tercetus mulai jam 12.39 tengah hari.

Bagaimanapun, bekalan elektrik dapat dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit hingga 2 jam 21 minit, iaitu tidak melebihi GSL terkini yang telah diluluskan pada 22 September 2020.

Semalam, Takiyuddin mengumumkan TNB akan memberi rebat kepada pengguna terutama peniaga yang terjejas akibat insiden berkenaan.

Beliau menjelaskan, ST dan TNB masih menjalankan siasatan berhubung kejadian gangguan bekalan elektrik berkenaan dan siasatan dijangka selesai dalam tempoh masa satu bulan daripada tarikh kejadian gangguan bekalan.

Katanya, siasatan bagi memastikan punca dan kesan gangguan, pematuhan GSL dan seterusnya akan menjadi asas penentuan sama ada pelanggan yang terlibat layak diberikan rebat atau sebaliknya.

Bagaimanapun, keputusan muktamad kelayakan pelanggan untuk mendapatkan rebat adalah tertakluk kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan.

“Pelaksanaan GSL diwujudkan bagi menjaga kepentingan pengguna dan meningkatkan prestasi perkhidmatan TNB. Standard Prestasi Perkhidmatan bekalan elektrik ini boleh didapati di laman sesawang Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

Pautan terdahulu,
https://ismaweb.net/2022/07/29/fomca-saran-beri-pampasan-pihak-terlibat-gangguan-elektrik/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button