Ambil langkah pencegahan, bahaya jangkitan COVID-19 masih wujud
Sentiasa ambil langkah pencegahan ketika lakukan aktiviti

PUTRAJAYA, 29 Syawal 1441H, Ahad – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia bahawa bahaya jangkitan COVID-19 masih wujud dalam komuniti.
Ekoran itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan ketika melakukan aktiviti kunjung-mengunjung terutamanya apabila melibatkan warga emas dan kanak-kanak.
“KKM akan terus memantau situasi jangkitan di dalam dan luar negara menerusi maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan akan sentiasa memaklumkan sebarang perkembangan,” katanya seperti dipetik Astro Awani.
Dalam perkembangan berasingan, Noor Hisham berkata, statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mendapati tiada pertambahan kertas siasatan baharu berhubung berita palsu dalam tempoh lebih tiga minggu yang lalu.
“Ini menunjukkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan tidak berkongsi berita palsu meningkat,” ujarnya.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya.
Katanya, kandungan yang diragui kesahihan boleh disemak di laman web www.sebenarnya.my.
Setakat 20 Jun lalu katanya, portal tersebut merekodkan 137.6 juta pengunjung.