Berita Utama

APMM tahan kapal tangki bekalkan minyak kepada bot Vietnam

Bantu aktiviti tangkap ikan secara haram di Zon Perikanan Malaysia

CHUKAI, 29 Syawal 1441H, Ahad – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang menahan sebuah kapal tangki minyak disyaki membekalkan minyak kepada bot nelayan Vietnam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, kapal tangki yang berdaftar di Bangkok, Thailand itu dikesan dan ditahan pada pukul 12 tengah hari, Khamis lepas oleh KM Langkawi yang berpangkalan di Pahang ketika melaksanakan Op Naga Barat di perairan negeri Terengganu pada jarak kira-kira 159 batu nautika dari Kuala Kemaman.

“APMM telah menerima maklumat terdapat kapal-kapal yang melalui perairan Terengganu bertindak sebagai kapal induk yang membekalkan minyak kepada bot-bot nelayan Vietnam yang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram dalam Zon Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasil pemeriksaan ke atas kapal tangki itu mendapati seorang nakhoda dan sembilan orang anak kapal warganegara Thailand dan Kemboja, berusia 20 hingga 63 tahun, ditahan selepas nakhoda kapal itu gagal mengemukakan dokumen insurans kapal apabila diminta.

Rashidilhadi berkata, APMM menahan dan membawa nakhoda kapal berusia 63 tahun ke pejabat Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MS0) 1952. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close