Berita Utama

Armada sokong UMNO letak calon Melayu di Tg Malim

Faktor peratusan pengundi Melayu tinggi berbanding kaum lain

TANJUNG MALIM, 29 Syawal 1441H, Ahad – – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Malim menyokong saranan UMNO meletakkan calon Melayu bertanding di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Azirul Syafiq Sazali berkata, kerusi Parlimen Tanjung Malim sesuai ditandingi calon Melayu atas faktor peratusan pengundi Melayu yang lebih tinggi berbanding kaum lain.

“Saya bersetuju dengan cadangan Ketua UMNO bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib tentang keutamaan pilihan calon Melayu.

“Hampir puluhan tahun rakyat tempatan diwakili ahli parlimen bukan Melayu walaupun pengundi merupakan peratus majoriti dalam Parlimen itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertikaian antara UMNO dan MCA berkaitan kedudukan calon di Parlimen Tanjung Malim yang menjadi perhatian umum sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, perebutan kerusi itu oleh pimpinan bahagian masing-masing telah menyebabkan hubungan antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) menjadi tegang.

Justeru katanya, baik UMNO mahupun MCA, kedua-duanya perlu berlapang dada dan mengetepikan perbalahan demi mengukuhkan kedudukan antara parti dalam PN.

“Perebutan kerusi di peringkat awal akan mengeruhkan kerjasama dan tidak mustahil akan berlakunya sabotaj antara parti.

“Bersatu juga layak bertanding di Parlimen itu, namun tidak bermakna kami perlu membuat tuntutan kerusi kerana dalam pengagihan kerusi, faktor penting adalah untuk menang dalam pilihan raya,” katanya.

Menerusi perkongsian di Facebook, minggu lalu, Mohd Khusairi yang juga Pengerusi BN.

Tanjung Malim menegur pemimpin MCA dan anggota partinya agar berhenti bermain wayang dan tidak lagi mengharapkan kerusi Parlimen itu untuk bertanding pada PRU15.

Beliau berkata, 60 daripada 63 Cawangan UMNO di kawasan itu telah mengusulkan supaya kerusi berkenaan ditandingi calon UMNO sendiri.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Malim bagaimanapun bertegas tidak akan beralah dan tetap akan mempertahankan kerusi Parlimen itu yang merupakan kawasan tradisi ditandingi MCA.

Parlimen Tanjung Malim terdiri daripada 56 peratus pengundi Melayu, 26 peratus Cina, 13 peratus India, dan enam peratus pengundi etnik lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close