Berita Utama

CAPP benteng komuniti daripada COVID-19: Dr Adham Baba

Perlukan kerjasama pelbagai pihak dengan Kospen, agensi berkaitan

PUTRAJAYA, 29 Syawal 1441H, Ahad – Malaysia yang berada pada fasa pemulihan pandemik COVID-19, kini memerlukan setiap individu dan komuniti memainkan peranan sebagai petugas barisan hadapan bagi menjayakan usaha memerangi dan memutuskan penularan wabak yang boleh membawa maut.

Peranan itu menuntut pemerkasaan tanggungjawab komuniti terutamanya pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung dan ketua komuniti dengan memastikan semua anggota masyarakat mematuhi normal baharu serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menyedari hakikat itu, Kementerian Kesihatan (KKM) memperkenalkan konsep Cegah dan Didik, Amal, Patuh dan Pantau (CAPP) bagi mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dan membolehkan rakyat sendiri menjadi barisan hadapan dalam melindungi diri, keluarga dan masyarakat setempat daripada penularan COVID-19.

Menjelas lanjut perkara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata CAPP adalah satu strategi bagi memperkasa Program Pengurangan Risiko Daerah COVID-19 (DRPP) yang bertujuan melindungi daerah hijau agar bebas daripada jangkitan COVID-19 dan menukar daerah kuning kepada daerah hijau dalam tempoh 14 hari.

CAPP akan memberi fokus di 1,178 kawasan yang terdiri daripada mukim, bahagian, subzon atau presint di seluruh negara.

“CAPP meliputi empat skop iaitu cegah dan didik keluarga serta komuniti mengenai norma baharu, amal tingkah laku bagi mengelakkan diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan, patuhi SOP pengoperasian sektor-sektor utama negara serta pantau status kesihatan diri dan keluarga dan tempat kerja,” katanya dalam satu wawancara di pejabatnya baru-baru ini.

Pelaksanaan CAPP, kata beliau sudah tentu memerlukan kerjasama pelbagai pihak dengan Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) sebagai antara satu pasukan di peringkat KKM yang akan memberi pendidikan kesihatan, selain di peringkat komuniti yang melibatkan pemimpin seperti ketua kampung, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Skim Rondaan Sukarela, Kawasan Rukun Tetangga dan penghulu.

“Mereka inilah yang akan menjadi barisan hadapan terkini dan ia perlu bermula sewaktu PKPP serta bila digabungkan melalui satu komuniti besar saya yakin mereka boleh mempertahankan kawasan agar kekal hijau dan pada sama mengubah zon kuning atau merah ke zon hijau,” katanya.

Antara strategi yang akan dilaksana ialah melalui gerakan jawatankuasa penduduk sedia ada sebagai penyelaras aktiviti pencegahan di komuniti, hebahan pendidikan kesihatan tentang langkah pencegahan COVID-19, motivasi supaya komuniti kekal hijau, serta had dan rekod pergerakan keluar masuk pelawat dan penduduk di sesuatu empat.

Tunjang CAPP, kata Dr Adham antara lain adalah penggunaan aplikasi MySejahtera yang dilancarkan pada 20 April lepas dan kini telah menerima pendaftaran lebih empat juta pengguna dengan fungsi paling popular seperti hotspot tracker untuk merancang pergerakan dan penilaian kesihatan kendiri.

Ia turut memberikan lokasi fasiliti kesihatan yang berhampiran tempat tinggal bagi saringan COVID-19, nasihat kesihatan, semak keputusan ujian saringan dan beberapa ciri tambahan seperti SOP pembukaan pelbagai sektor ekonomi dan perkhidmatan serta bagi memantau mereka yang balik dan datang dari luar negara.

Dr Adham berkata beliau telah menjelajah ke hampir semua negeri bagi memberi penerangan mengenai program CAPP dan menerima maklum balas positif untuk pelaksanaan program CAPP.

Ditanya mengenai pelaksanaan pendekatan CAPP dalam kalangan warga asing, Menteri Kesihatan itu berkata majikan dan kedutaan asing memainkan peranan penting dengan mengarahkan pekerja mereka menjalani ujian calitan (swab test) terutamanya di zon merah dan kuning seperti Kuala Lumpur dan Selangor.

“Setiap warga asing nak bekerja mesti diambil sampel ujian manakala di negeri-negeri hijau mereka diberi pilihan untuk buat, tapi biasanya untuk mereka yang bergejala dan mengaku ada kontak rapat dengan pesakit,” katanya.

Dr Adham turut meminta sokongan penuh seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memerangi wabak COVID-19 yang memerlukan setiap individu mengamalkan pematuhan SOP serta jarakan sosial.

Memuji sifat tanggungjawab rakyat Malaysia yang disifatkannya mempunyai tahap kepatuhan tinggi terhadap SOP ketika PKP dilaksanakan, Dr Adham menjelaskan ia antara lain banyak menyumbang kepada pelandaian lekuk COVID-19.

Malaysia setakat semalam mencatatkan jumlah kumulatif 8,556 kes positif COVID-19 dengan kadar kesembuhan adalah 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Jumlah kematian adalah 121 atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close