Berita Utama

Difitnah! Ini lumrah perjuangan, tindakan demi agama, bangsa

Jangan diamkan NGO Islam, takkan mahu PH jadi semak imbang

BANGI, 29 Syawal 1441H, Ahad – Pemimpin politik perlu mendidik penyokong dan ahli untuk berpolitik secara matang berlandaskan kebenaran, bukannya atas kepentingan parti semata-mata, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya. 

Beliau berkata, NGO Islam yang menjadi ‘check and balance’ sebenar akan setia menasihati pemimpin tanpa sebarang kepentingan serta propaganda kepartian demi agama, bangsa dan tanah air. 

Bagaimanapun, Haji Aminuddin kesal apabila terdapat pihak yang memfitnah beliau kononnya menjadi parasit yang cuba untuk melemahkan kerajaan tanpa mengenal pasti punca tuduhan itu dilemparkan. 

“Tetapi, apa yang pasti ialah mereka tidak selesa apabila saya mengkritik akan sistem politik yang ada hari ini. 

“Mungkin mereka rasa tergugat dengan kritikan saya mengenai lantikan GLC, lantikan senator-senator dan menteri, mendedahkan kerakusan-kerakusan MCA dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Haji Aminuddin, ada juga yang tidak suka apabila beliau mencadangkan supaya negara bergerak ke arah sistem ‘semi-demokrasi’ bagi menyelesaikan masalah perebutan jawatan, menerusi kuasa Yang di-Pertuan Agong dipertingkatkan. 

“Tidak mengapalah, memang lumrah perjuangan. Apa jua kritikan yang diberikan pasti ada yang akan berasa tidak selesa walaupun kritikan itu adalah untuk kepentingan negara. Yang sombong, angkuh dan lupa diri pasti akan jatuh satu hari nanti. 

“Saya harap agar rakyat akan lebih bijak menilai akan isu-isu semasa terutamanya berkenaan dengan politik dan tidak mudah tergugat serta terhasut dengan naratif serangan gerombolan ‘cybertroopers’ milik politikus yang hanya mahu menutup kelemahan mereka,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan pemimpin politik supaya sentiasa mendengar teguran daripada marhaen terutamanya NGO Islam yang bergerak di nadi masyarakat. 

“Takkanlah nak harapkan pembangkang (Pakatan Harapan) menjadi ‘check and balance’ kerajaaan dalam isu-isu agama, bangsa dan tanah air? Maka, jangan cuba ‘diamkan’ suara kami,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button