Berita Utama

Kes Adib: Sudah 2 kali kerajaan bertukar, masib belum selesai

Henti beri alasan, kenapa masih tiada tangkapan baharu dibuat?

BANGI, 29 Syawal 1441H, Ahad – Meskipun kerajaan sudah bertukar, kes anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November 2018 lalu masih juga belum selesai.

Lantaran itu, peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendesak kerajaan berhenti memberi alasan, sebaliknya segera menuntut keadilan atas kematian Allahyarham dengan menahan pembunuh terbabit.

Pada masa sama, beliau hairan apabila masih tiada tangkapan baharu dibuat ke atas perusuh kuil walaupun sudah lebih setahun kes berkenaan berlaku.

“Pada 5 Disember 2018, gambar 38 perusuh di sebarkan sebagai sedang diburu polis. Takkanlah sampai sekarang seorang pun tak dapat ditangkap lagi? Kata polis Malaysia ini Top 5 terbaik di dunia,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan di mana empat lelaki dipercayai terbabit dalam insiden pukul Allahyarham Muhammad Adib yang dibebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM2,000, serta jaminan polis.

“Di mana empat lelaki ini bersembunyi sekarang? Tak boleh ke mereka ini ditangkap semula untuk didakwa? Takkanlah polis tiada simpan rekod alamat rumah mereka jika mereka masih berada di Malaysia?,” soalnya.

Kes kematian Muhammad Adib dilaporkan hanya dapat diteruskan selepas pihak polis berjaya mengenal pasti dan menahan pembunuhnya untuk didakwa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebelum ini Mahkamah Koroner mendapati kematian anggota bomba itu disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

“Oleh sebab itu pihak polis perlu dan sedang menjalankan siasatan untuk kenal pasti pelaku. Itu yang sudah dilaporkan kepada Kabinet. Jadi kerajaan atau pihak Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan hasil daripada siasatan pihak polis, kita tunggulah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close