Berita Utama

PATI: Tangkap pengkhianat negara, sekalipun orang ternama

Rakyat kena bantu banteras kegiatan seludup PATI

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 29 Syawal 1441H, Ahad – Usaha memburu tekong dan dalang warga tempatan yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin ke dalam negara perlu dilaksanakan secara berterusan bukannya bermusim.

Pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim menyifatkan tindakan pihak berkuasa memburu pengkhianat negara ini wajar bagi membersihkan nama baik mereka di samping memberi kepercayaan kepada masyarakat terhadap pasukan keselamatan.

“Ini kerana kita tidak mahu dengar harapkan pegar, pegar makan padi. Pemburuan untuk menangkap penyeludup ini tidak kira siapa pun mereka sama ada orang ternama ataupun tidak.

“Penangkapan perlu dilakukan, jika tidak usaha-usaha kerajaan untuk menangani masalah PATI ini tidak akan selesai,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam pada itu, Shahul meminta penduduk setempat membantu pihak berkuasa dengan memberikan maklumat kepada mereka bagi membanteras kegiatan ini dari terus berlaku.

“Dari dulu lagi kita minta rakyat membantu pasukan keselamatan, penguatkuasaan dan kerajaan seperti memberi maklumat jalan tikus.

“Penduduk setempat yang duduk di kawasan itu mesti tahu dan nampak berlakunya penyeludupan ini. Bahkan kadang-kadang penduduk sendiri terlibat menjadi tekongnya kerana mudah mendapatkan habuan.

“Namun, saya percaya tidak semua menjadi pengkhianat kepada negara dengan membawa masuk PATI,” katanya.

Pihak berkuasa sedang memburu lebih 300 tekong dan dalang warga tempatan yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin ke dalam negara.

Warga tempatan ini, khususnya yang terbabit dalam industri maritim seperti nelayan, pemilik dan operator bot serta pemancing, boleh didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, dan akan dikenakan tindakan keras oleh pihak berkuasa jika didapati bersalah.

National Task Force (NTF) memaklumkan, mereka juga akan berdepan dengan tindakan pembatalan lesen menangkap ikan, memancing dan lesen mengoperasikan bot penumpang atau rekreasi sekiranya didapati terlibat.

Katanya, tindakan penguatkuasaan ini bukan sahaja tertumpu di seluruh kawasan perairan negara, tapi turut merangkumi semua sempadan darat.

“NTF menerusi Ops Benteng akan menggempur sehingga ke akar umbi bagi memastikan tiada pendaratan pendatang tanpa izin khususnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan bagi mengelak risiko jangkitan wabak COVID-19, serta tiada pelanggaran undang-undang dilakukan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Ops Benteng yang diaktifkan sejak bulan lepas di bawah NTF merupakan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button