Berita Utama

Pemandu mabuk: MOT mahu pinda hukuman lebih berat

Cadangan pindaan akan dibentang di Kabinet minggu depan

BANGI, 29 Syawal 1441H, Ahad – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membawa memorandum cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara melulu (DUI) ke mesyuarat Kabinet minggu depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya komited mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemanduan DUI supaya tragedi disebabkan pelakuan itu tidak berlaku lagi atau sekurang-kurangnya dapat dicegah secara drastik.

Keperluan untuk meminda akta itu adalah susulan kemalangan maut membabitkan tiga beranak di Jalan Ipoh-Gerik, semalam selepas kenderaan mereka dikatakan dirempuh pikap dipandu pemandu DUI.

Dalam kejadian pada 10.30 malam, mangsa, Nurul Huda Arifin, 31, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta Toyota Vios maut di tempat kejadian.

Sementara itu, pemandu kereta berkenaan, Abdul Hakim Hashim, 32, serta kanak-kanak yang berada di tempat duduk belakang, Adib Aidan Abdul Hakim, 2, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

Ka Siong berkata, tragedi kemalangan jalan raya akibat DUI seperti apa yang menimpa Nurul Huda ini mengundang kesedihan yang amat memilukan kepada keluarga mangsa.

“Berita sebegini menguatkan lagi tekad untuk memerangi pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah dan pemanduan secara berbahaya.

“Cukup-cukuplah. Saya akan membawa memorandum kepada Kabinet untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemanduan DUI pada minggu depan supaya tragedi sebegini tidak berlaku lagi atau sekurang-kurangnya dapat dicegah secara drastik,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close