Uncategorized

Peranan ayah dalam Quran

Seorang ayah harus mendidik anak pertahankan Islam

1. SEMPENA Hari Bapa ini, marilah kita renungi peranan seorang ayah seperti yang direkodkan dalam al-Quran. Dialog di antara ayah dan anak adalah antara episod penting yang ditampilkan oleh al-Quran. Ia menggambarkan tentang keutamaan peranan ayah dalam pembinaan sebuah institusi kekeluargaan.

2. Antara peranan dasar yang disebutkan adalah berhubung kait tentang pendidikan tauhid dalam rumah tangga. Ini dapat difahami melalui pesanan pertama yang disampaikan oleh Luqman kepada anaknya:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

Ini adalah saranan paling utama yang disebutkan oleh Allah melalui nasihat-nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya.

3. Atas dasar itu al-Imam Ibn al-Qayyim turut pernah menjelaskan bahawa seawal kelahiran anak kecil itu lagi kita telah dianjurkan untuk membisikkan azan di telinga mereka. Lafaz-lafaz tauhid yang menerobos ke telinga mereka menggambarkan betapa penerapan nilai aqidah perlu diterapkan sejak anak kecil itu lahir ke dunia lagi. (Ibn al-Qayyim, Tuhfah al-Maudud)

4. Kedua, seorang ayah perlu memastikan agar anak kekal dalam kebenaran agama ini. Perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim menasihatkan anak-anaknya agar terus kukuh dalam agama Islam serta mati di dalam agama ini. Firman Allah:

“Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. (al-Baqarah: 132)

5. Perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim dan Nabi Yaa’qub berpesan kepada anaknya agar kekal dan terus utuh dalam agama ini. Seorang ayah seharusnya mendidik anak-anaknya mempertahankan Islam seperti mana yang dilakukan oleh para sahabat Nabi. Lihatlah bagaimana Abu Bakar memberikan peranan setiap orang anaknya agar terlibat dalam mempertahankan Rasulullah ketika episod hijrah Rasulullah yang sangat mencabar.

6. Ketiga, seorang ayah juga wajib memerintahkan anaknya agar mendirikan solat. Ini dapat dipelajari melalui firman Allah yang menyebutkan:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا

“Dan perintahkanlah (wahai Muhammad) ahli keluargamu supaya menunaikan solat, dan hendaklah kamu bersabar atasnya (atas urusan ini). Surah Taha: 132.

6.1 Menurut al-Imam al-Qurtubi, setelah turunnya ayat ini, Rasulullah akan singgah pada setiap pagi di rumah anaknya Saidatina Fatimah dan Saidina Ali, menyeru mereka supaya menunaikan solat. Lihatlah bagaimana sekalipun anak tersebut telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai suami, Rasulullah masih mengingatkan anaknya supaya menunaikan solat. (al-Qurtubi, al-Jami Li Ahkam al-Quran, al-Qahirah, 1964, 11/263).

7. Malah, keempatnya, seorang ayah dinasihatkan juga agar sentiasa berdoa supaya Allah menjadikan seluruh zuriatnya mendirikan solat. Perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim sendiri mendoakan agar dikurniakan anak yang sentiasa mendirikan solat. Firman Allah:

رَبِّ اجعَلْني مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِن ذُرِّيَّتي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“(Nabi Ibrahim berdoa): Wahai Tuhanku, jadikanlah aku sebagai orang yang mendirikan solat dan begitu juga dengan keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa ini.” (Surah Ibrahim: 40)

8. Ingatlah pesan al-Imam Ibn al-Qayyim bahawa peranan seorang ayah sangat berat. Seorang ayah yang leka boleh memberikan kesan terhadap kerosakan anak-anaknya. Kata al-Imam:

فَمَا أفسد الْأَبْنَاء مثل تغفل الْآبَاء وإهمالهم

“Maka telah rosak anak-anak atas kesan mengikut kelekaan serta kelalaian ayah-ayah mereka” (Tuhfatul Maudud)

Selamat Hari Bapa.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button