Perintah berkurung di UK dijangka tamat bulan depan
Menteri akan umum garis panduan, SOP longgar penjarakan sosial

LONDON, 29 Syawal 1441H, Ahad – Setelah hampir tiga bulan menguatkuasakan perintah berkurung akibat pandemik COVID-19, United Kingdom (UK) dijangka menamatkan sepenuhnya ketetapan itu pada awal bulan depan.
Menurut pegawai, Rishi Sunak, menteri akan mengumumkan perkara itu pada minggu depan, termasuk garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) melonggarkan penjarakan sosial dua meter di England.
Sunak berkata, beberapa SOP juga akan diumumkan berkenaan kebenaran berkunjung ke pusat membeli-belah bagi pelanggan dan juga pemilik perniagaaan.
Perkara itu dimaklumkan Sunak selepas kerajaan merancang untuk membuka kembali sektor perhotelan pada awal bulan depan, yang dijangka seawal 4 Julai.
Pengoperasian semula pub, restoran dan hotel – termasuk kelonggaran dan pemansuhan peraturan penjarakan sosial – secara efektif akan menandakan berakhirnya perintah berkurung di UK.
Pengumuman itu menerima reaksi positif dalam kalangan ahli perniagaan khususnya di sektor perhotelan yang terjejas teruk dan membantah beberapa SOP termasuk penjarakan sosial dua meter.
Sebelum ini, saintis kerajaan sendiri menentang keputusan menangguh perintah berkurung dengan alasan bahawa ia adalah keputusan bersifat politik. – Agensi