Berita Utama

‘PH tarik balik rebat elektrik masih berlagak hero’: Najib

1.1 juta terima manfaat rebat dari BN berbanding 75,000 di zaman PH

BANGI, 29 Syawal 1441H, Ahad – Datuk Seri Najib Razak hari ini menempelak Pakatan Harapan (PH) kerana masih berlagak hero meskipun telah menaikkan kadar elektrik dan menarik balik rebat secara senyap bagi kebanyakan rakyat ketika menjadi kerajaan. 

Bekas Perdana Menteri itu berkata, selepas Pilihan Raya umum ke-14 (PRU-14), kerajaan PH mengatakan akan mengganda rebat elektrik yang diberi BN daripada RM20 sebulan kepada RM40 sebulan bermula 1 Januari 2019. 

Najib berkata, PH bagaimanapun tidak menyatakan bahawa rebat RM20 dari BN adalah terbuka kepada semua pelanggan dan tidak perlu berdaftar. 

“Rebat diberi secara automatik asalkan bil elektrik bulanan adalah RM20 dan ke bawah. 

“Sebab itu, sebanyak 1.1 juta pelanggan domestik menerima manfaat setiap bulan secara konsisten untuk hampir seluruh tempoh saya PM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, kata Najib, selepas PH menjadi kerajaan, rebat dinaikkan RM40 sebulan tetapi ditukarkan syaratnya, di mana hanya golongan tertentu yang mendapat manfaat. 

“Hanya keluarga yang berdaftar dengan eKasih akan diberi rebat RM40 ini dan hanya keluarga dengan pendapatan bulanan RM950 ke bawah layak untuk berdaftar dengan eKasih. 

“Oleh kerana syarat adalah amat ketat, hanya 75,000 keluarga seluruh negara mendapat rebat RM40 elektrik berbanding 1.1 juta yang mendapat rebat RM20 sebulan,” katanya. 

Beliau berkata, daripada jumlah itu, rakyat boleh membayang penjimatan maksimum rebat untuk kerajaan PH. 

“Dulu bawah BN: 1.1 juta x RM20 x 12 bulan = RM264 juta, di bawah PH: 75,000 x RM40 x 12 bulan = RM33.6 juta.

“Mereka potong jumlah pembiayaan bagi rebat sebanyak 88 peratus tapi propaganda mereka kata mereka gandakan rebat pula. Itulah cara Gagalkrasi PH menipu rakyat pada masa dulu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button