Berita Utama

Pindaan akta berhubung pemandu mabuk ke Kabinet 2 minggu lagi

Pindaan Seksyen 41, 45 dalam proses untuk dimuktamadkan

KOTA BHARU, 29 Syawal 1441H, Ahad – Pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 melibatkan individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol dijangka dibawa ke kabinet dua minggu lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata walaupun akta itu di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, pihaknya turut terlibat dalam penggubalan pindaan berkenaan.

“Pindaan yang melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 akta berkenaan kini dalam proses untuk dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu, di sini hari ini.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM1,000 dan tidak melebihi RM6,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, Seksyen 44 memperuntukkan denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mengulas kes kematian pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, beliau berkata kes tersebut masih dalam siasatan polis. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button