Berita Utama

PN sudah miliki calon PM

Turut sokong jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat

KUALA NERANG, 29 Syawal 1441H, Ahad – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mempunyai nama individu yang akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, hanya satu nama sahaja yang dicalonkan dan gabungan berkenaan tidak mempunyai senarai calon lain.

Bagaimanapun menurutnya, beliau tidak berhasrat mendedahkan nama berkenaan ketika ini sebaliknya ia akan diumumkan apabila tiba waktunya nanti.

“Saya ingat semua sudah tahu siapa yang jadi calon Perdana Menteri bagi PN. Sebelah sana, (pembangkang) sahaja yang kelam kabut.

“Sebahagian nak Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) jadi Perdana Menteri, sebahagian lagi nak Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Terdahulu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut menyokong kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar diadakan PRU15 dalam masa terdekat.

Mahdzir berkata, melihatkan bilangan kerusi PN yang tidak begitu kukuh ketika ini mendorong pilihan raya diadakan supaya rakyat boleh membuat keputusan setelah mandat dikembalikan kepada mereka.

“Saya melihat PN ada peluang besar untuk menang dalam PRU15 memandangkan gabungan itu mempunyai solidariti kesatuan dan kerjasama yang kukuh,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button