Berita Utama

Rebut kuasa PM, tiada apa boleh dibangga dengan pemimpin PH

Beri ruang kerajaan PN perintah negara hingga PRU15

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 29 Syawal 1441H, Ahad – Perebutan jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh disifatkan sebagai fenomena ganjil dalam sejarah politik Malaysia, kata Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni. 

Beliau berkata, kedua-dua tokoh politik berkenaan sibuk berebut jawatan yang sebelum ini sudah berada di tangan sendiri, namun mereka juga yang melepaskan posisi itu. 

Katanya, tiada apa yang boleh dibanggakan pada pemimpin parti Pakatan Harapan (PH) kerana segala yang dilaungkan sebelum ini telah pun ‘dilanggar’ oleh mereka sendiri. 

“Tun M selalu berbangga di hadapan pemimpin luar bahawa keunikan demokrasi Malaysia adalah yang kalah menerima kekalahan. 

“Katanya Malaysia tidak seperti negara Arab yang selalu bergolak kerana yang kalah mengambil langkah memprotes kekalahan dengan demontrasi dan penggulingan kuasa. 

“Tetapi apa yang beliau lakukan kini ternyata bercanggah dengan kenyataannya itu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

PH terus berdepan konflik dalaman dengan isu perebutan kuasa Perdana Menteri antara Dr Mahathir dan Anwar meskipun sudah tidak lagi menjadi kerajaan. 

Sebelum ini, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menolak cadangan mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, dan kekal dengan mencalonkan Anwar. 

Bagaimanapun, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) mahu PH memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri kerana  Anwar gagal memperoleh sokongan. 

Dalam kenyataan bersama, parti berkenaan berkata, Anwar hanya mampu mendapat sokongan maksimum 96 Ahli Parlimen sebagai perdana menteri, dan usaha menarik sokongan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak berjaya selepas tempoh dipersetujui tamat. 

Mengulas lanjut, Ustaz Muhammad Fauzi menyarankan semua pihak termasuk PH supaya memberikan ruang supaya Perikatan Nasional (PN) terus mentadbir Malaysia sehingga ke pilihan raya umum akan datang. 

“Jika PH merasakan bahawa mereka mempunyai sokongan rakyat, maka mereka kena buktikan melalui keputusan PRU akan datang.

“Sementara itu adalah baik untuk mereka mengukuhkan kesatuan sesama mereka jika masih mampu untuk bersatu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button