Berita Utama

Sikap buruk politikus antara faktor semidemokrasi wajar dipertimbang

Dunia politik semakin banyak timbulkan persepsi negatif

BANGI, 29 Syawal 1441H, Ahad – Saranan gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) supaya kerajaan mempertimbangkan sistem semidemokrasi wajar diterokai dan dipertimbangkan.

Ketua Media MUAFAKAT, Haji Rashidi Haris berkata, langkah itu adalah usaha yang boleh diambil bagi mengurangkan ‘political fluctuation’ yang kini berlaku di Malaysia dan memberikan tugas dan amanah kepada individu yang layak.

Katanya, dunia politik hari ini semakin banyak menimbulkan persepsi negatif apabila sering kali membangkitkan perkara kontroversi.

“…terutamanya apabila melihat kepada sikap beberapa politikus yang sering kali berubah-ubah pendirian, akhlak yang buruk dan tiada prinsip dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

“Sikap buruk ini dapat dilihat apabila politikus yang oportunis menzahirkan sisi hodoh sistem demokrasi.

“Kononnya mereka adalah wakil-wakil rakyat dipilih bagi memperjuangkan suara rakyat, hakikatnya rakyat yang diperkudakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Haji Rashidi mencadangkan dua pilihan terbaik ke arah penyelesaian kemelut politik yang tiada titik penghujungnya.

“Pilihan pertama iaitu bubar Parlimen. Seterusnya Yang di-Pertuan Agong memutuskan kerajaan Perikatan Nasional terus mentadbir negara sehingga tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Sebelum ini Presiden ISMA, Haji Aminuddin mencadangkan, sebuah sistem semidemokrasi, yang menyaksikan semua jawatan menteri termasuk Perdana Menteri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak dijawat oleh wakil rakyat, sebaliknya dipegang oleh golongan teknokrat atau penjawat awam.

“Cadangan ini sebagai solusi yang boleh kita wacanakan demi kestabilan negara,” katanya.

Beliau berkata, cadangan yang dikemukakan juga bukan sesuatu yang asing kerana sistem yang hampir sama dengan sistem semidemokrasi telah berjalan melalui pelantikan senator Dewan Negara.

Katanya lagi, sistem itu boleh dikembangkan lagi berikutan jumlah bilangan lantikan senator adalah terhad.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button