Berita Utama

Masalah PATI membarah, robek kedaulatan, selesaikan segera: PAS

Ia umpama pandemik mampu bunuh malah runtuhkan negara

BANGI, 30 Syawal 1441H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan digesa mengambil tindakan sewajarnya supaya barah pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dihapuskan sepenuhnya demi menjaga kedaulatan negara.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad menyifatkan, ‘pandemik’ PATI ini adalah lebih bahaya dari COVID-19 kerana bukan sahaja boleh membunuh, bahkan boleh meruntuhkan negara.

“PAS berpendapat, PATI tidak seharusnya berada bebas dalam negara ini tanpa permit kerja sah yang menyumbang kepada statistik isu sosial dan jenayah di negara ini. Selain Jabatan Imigresen Malaysia, agensi lain juga mesti digerakkan sepenuhnya bagi memerangi PATI yang masuk ke negara ini secara haram.

“Usaha proaktif membenteras PATI juga dilihat dapat membongkar kepincangan dalam kalangan penguat kuasa sebagaimana kes-kes yang berjaya didedahkan terutama di Selatan tanah air oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. Tahniah atas ketegasan membongkar isu ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Kamaruzaman menegaskan, selain faktor sempadan terbuka negara yang luas, integriti penguat kuasa juga menjadi faktor penting kepada kedaulatan negara.

“PAS berpendirian operasi menjejak PATI dan menghantar pulang mereka ke negara asal dilihat dapat menyelesaikan banyak masalah dalam negara.

“Walaupun langkah ini dipergiatkan oleh kerajaan berikutan mengawal penularan COVID-19, namun ia hendaklah dilaksanakan hingga mencapai matlamat yang lebih menyeluruh,” katanya.

Terdahulu, polis Johor menahan 18 anggota penguat kuasa termasuk seorang pegawai kanan PDRM selain anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan PATI di negeri itu, sejak 2017.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan berkata, penahanan 18 anggota penguat kuasa itu susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan PATI dalam operasi pada 4 Jun lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati 18 penguat kuasa berkenaan bersengkongkol dengan sindiket penyeludupan PATI dalam menyalurkan maklumat termasuk operasi yang dijalankan pihak berkuasa negara ini sekali gus menjadi dalang kebocoran maklumat dalaman.

Katanya, suspek penguatkuasa ini dipercayai menerima imbuhan sangat lumayan iaitu sehingga RM10,000 setiap transaksi penyeludupan PATI malah turut dikesan terbabit dalam penyeludupan dadah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button