Berita Utama

Calon BN akui cabaran kempen ketika ancaman COVID-19

Kempen secara normal baharu dengan pematuhan SOP

PEKAN, 30 Syawal 1441H, Isnin – Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain mengakui bahawa menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini ketika negara berdepan pandemik COVID-19 adalah sangat mencabar.

Mohd Sharim yang pernah terlibat sebagai jentera pilihan raya sebelum ini berkata, kempen terpaksa dijalankan secara normal baharu dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ujarnya jika dahulu bentuk kempen adalah berjumpa pengundi dan bersalaman selain beramah mesra namun disebabkan normal baharu diterapkan dalam PRK kali ini, beliau terpaksa merombak jadual kempen dengan menggunakan pendekatan lebih bersederhana namun efektif.

Sehubungan itu, beliau memohon maaf kepada pengundi di DUN Chini, terutama yang mengenali dirinya kerana tidak dapat bersalaman sepanjang kempen bagi mematuhi SOP khas bagi urusan pelaksanaan PRK Chini yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Siang tadi adalah siri pertama kempen saya berjumpa pengundi tapi awal-awalnya disebabkan saya sudah terbiasa jumpa orang terutama yang mengenali dan terus bersalaman. Tapi bila sudah ditegur, saya terus patuhi dan kita pula memberi penerangan kepada pengundi bahawa saya kena patuhi SOP ditetapkan. Jadi minta maaflah dan bukannya saya tidak mahu (bersalaman),” katanya.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 7 Mei lepas, akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada PRU14 lepas, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

PRK Dun Chini melibatkan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK Dun Chini pada 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai ini. PRK Chini adalah pilihan raya kecil yang ke-11 selepas PRU-14.

DUN Chini, yang adalah satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button