Kolumnis

Sokong PH itu neutral, sokong PN tak neutral

Ilmu rimba mana kamu belajar? Salahkah ilmuwan suara pendapat?

BILA ilmuwan yang bergelar Profesor, Profesor Madya, pemegang Phd, baru-baru ini mengeluarkan kenyataan dan pendirian, yang agak pro-PN (kerajaan sedia ada) sikit, dikatakan tidak neutral. Akademia dituduh tidak ada integriti.

Selama lebih 20 bulan PH memerintah, tidak kurang juga ilmuwan pro kepada PH, maka dikatakan neutral atau sebenar-benar ilmuwan. Pemikiran rimba apakah ini.

Peliknya bercakap semua ini adalah mereka agak terpelajar? Salahkah kami sebagai akademia, menyuara pendapat dan menzahirkan kebimbangan kami dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Adakah tugas para akademia ini, tunggu dan lihat, mencari peluang? Bila dapat kesempatan ‘ngap’.

Berapa banyak persatuan akademia ada di setiap universiti, adakah tugasnya sekadar menjaga kebajikan akademia? Kebajikan akademia tidak juga terbela. Bila ada akademia dikenakan tindakan, persatuan akademia inilah yang menjauhkan diri, play safe. Inikah ini bentuk ilmuwan yang neutral? Sampai bila?

Adakah neutral bermaksud, kami tidak perlu bercakap atau bila bercakap pun maka kenyataan perlu duduk di tengah-tengah. Jika analogi air digunakan, maka panas tidak, sejuk pun tidak, suam-suam kuku. Apakah ini maksud neutral?

Bila ilmuwan banyak bercakap pasal Islam, sokong undang-undang Islam dalam negara Islam maka dikatakan ekstrem atau Taliban. Tidak akademik. Bila ilmuwan menyokong gerakan liberal, LGBT atau menentang Islam itu sendiri, maka itu bagus.

Sama juga bila ada ilmuwan menyokong Zakir Naik, maka dilabelkan sebagai pelampau. Namun, bila ilmuwan (orang politik) menyokong LTTE, maka itu dikatakan hak.

Berapa ramai orang Islam mati dalam tahanan, tidak banyak yang bising. Namun bila ultra kiasu mati dalam tahanan, heboh satu dunia, mempertikaikan integriti polis. Wal hal yang mati itu adalah adalah perompak besar?

Bila Melayu bercakap pasal hak istimewa itu dikatakan tidak adil, rasis. Namun, bila ultra kiasu bercakap hak, mereka berhak kerana itu hak.

Kamu sengaja menutup mata, apa yang dimaksudkan dengan equity dan equality? Dalam kata lain, memberikan hak kepada yang hak, bermaksud adil dan konsep sesaksamaan.

Sedangkan bila Melayu bercakap pasal hak, itu memberikan hak kepada kepada yang berhak. Bila bukan bercakap tentang hak, itu bergantung kepada budi bicara hak.

Ultra kiasu ini sengaja memekakkan telinga, seolah-olah mereka tidak faham maksud neutral atau adil itu apa, memberikan hak kepada yang berhak.

Bila PH melantik orang mereka menerajui GLC meskipun bercanggah dengan manifesto, maka dikatakan tidak salah. Bila PN ikut sama berbuat sedemkian, maka salah belaka. Saya tidak kata tindakan ini betul. Kenapa kenapa kamu boleh buat, orang lain tidak boleh?

Pendek kata, apa juga perkara, bila membabitkan orang Islam (Melayu dan Bumiputera), kita diminta jangan mengeluarkan kenyataan, kunci mulut.

Contoh isu Allahyarham Adib, anggota bomba yang terkorban, akibat rusuhan kuil yang tidak sepatutnya berlaku, kerana keadilan kepada pihak kuil diberikan. Sehingga kini, pembelaan terhadap Adib, sengaja didiamkan oleh oleh ultra kiasu

Pembunuh Adib masih bebas. Keluarga Allahyarham masih belum mendapat pembelaan sepenuhnya.

Satu kuil dirobohkan heboh satu dunia, sedangkan kuil tersebut sudah digantikan dan diberikan tempat baharu, tak mahu pindah, cetuskan kekacauan. Kami diminta diam. Kena jaga maqam academia dan keprofesorannya.

Bila ada masjid surau dirobohkan, bagaimana pula? Akademia kena jaga ilmunya.

Inikah yang dikatakan neutral? Akademia tidak perlu berkata apa-apa? Jika inilah tugas tugas akademia, saya cukup bimbang api neraka semakin mendekati orang yang otak benarnya penuh dengan ilmu.

Adakah para akademia perlu duduk di tengah-tengah, jujur pada ilmu, jangan kenyataan? Tengok sahaja apa yang berlaku.

Bayangkan jika kami 115 orang ilmuan ini mengeluarkan kenyataan pro-PH. Saya tidak fikir Rama dan Sami, Siti dan Kasim akan bising. Malahan, kami akan dipuji.

Kasihan saya dengan mereka ini. Saya kategorikan mereka ini ‘orang sakit’ yang perlu dirawat.

Pada saya, memang wajar kami 115 profesor dan pensyarah kanan mengambil tindakan sebegini. Kami merasa sangat malu dengan dunia, negara semakin kucar-kacir dengan kemelut berebut mahu menjadi Perdana Menteri. Sedangkan Perdana Menteri sudah sedia ada. Dilantik mengikut prosedur yang betul, secara sah. Hak yang berebut itulah menjadi bahan ketawa dunia.

Pada hemat saya, akademia tidak sepatutnya neutral. Tugas sebenar akademi atau ilmuwan yang sebenar adalah ‘berkata benar, walaupun pahit’. Ini bukan sahaja tugas akademia, tetapi semua, tanggungjawab semua. Termasuk para ulama, mufti dan sebagainya.

Persoalannya, kenapa ramai yang membisu.

Cuba perhatikan, hari ini, mereka yang mengetuai institusi agama, lantikan PH sebelum ini, yang masih belum dibuang, seperti institusi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti YADIM, TV Hijrah, wakaf, zakat, diam membisu, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Lantikan semua orang besar ini semua dibuat ketika PH memerintah. Ketika PH masih berkuasa, bukan main lagi mereka ini mengeluarkan kenyataan. Hari ini, bila kerajaan bertukar. Senyap jer, diam jer. Nak jaga jawatan. Boleh percaya ke orang-orang sebegini.

Ketika PH memerintah, semua institusi kerajaan ditukar penerajunya. Institusi agama ini ditukar dengan orang-orang Ikram. Bila PN memerintah, tindakan begitu perlahan, kita perlu berhikmah. Ooooo, baru saya faham konsep neutral.

Ingatan saya kepada PN, menyimpan mereka ini seperti duri dalam daging, kecuali mereka yang benar-benar profesional, yang betul-betul buat kerja.

Fahamilah maksud hikmah dan neutral yang sebenar. Bertindaklah segera. Jangan hanya menuding jari kepada kami

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close