COVID-19: Kembali sifar penularan tempatan libat warganegara
KKM sahkan terdapat 15 kes baharu dilaporkan hari ini

PUTRAJAYA, 30 Syawal 1441H, Isnin – Tiada kes penularan COVID-19 dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia dilapor hari ini selepas pertama kali direkodkan pada 9 Jun lepas, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, sehingga 12 tengah hari ini, terdapat 15 kes baharu yang dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,587 kes.
Daripada kes baharu yang dilaporkan, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan terdiri daripada warganegara Malaysia, manakala kesemua 13 kes penularan dalam negara adalah dalam kalangan bukan warganegara.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 289 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, 21 individu pulih daripada COVID-19 dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya 8,177 kes atau 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama