Berita Utama

COVID-19: Tanggung kos rawatan sendiri, syarat masuk ke Dubai

Pelancong perlu tunjuk sijil negatif pandemik, tidak boleh bergejala

ABU DHABI, 30 Syawal 1441H, Isnin – Lapangan terbang di Dubai akan mula menyambut pelancong dari dalam dan luar negara bermula 7 Julai depan, lapor Khaleej Times.  

Bagaimanapun, pelancong akan diminta untuk menunjukkan sijil negatif COVID-19 yang terbaharu (maksimum 96 jam) atau menjalani ujian di lapangan terbang.

Selain itu, pelancong juga perlu menandatangani borang pengisytiharan kesihatan sebelum menaiki pesawat sementara syarikat penerbangan berhak untuk menolak kemasukan orang yang menunjukkan gejala COVID-19.  

Pelancong juga diminta menandatangani borang yang menyatakan bahawa mereka akan menanggung semua kos kuarantin atau rawatan sekiranya keperluan itu timbul semasa berada di Dubai.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Krisis dan Bencana Dubai memaklumkan bahawa lapangan terbang negara itu akan mula menerima penduduk yang terkandas di luar negara mulai esok (22 Jun).  

Ia juga mengatakan bahawa warganegara dan penduduk akan dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara mulai 23 Jun.

Jawatankuasa itu mengatakan bahawa pengumuman itu akan membolehkan ribuan orang yang terjejas ekoran sekatan di seluruh dunia dalam lalu lintas udara penumpang sejak bermulanya wabak COVID-19, untuk meneruskan rancangan perjalanan mereka.

Keputusan telah diumumkan berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Yang Mulia Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Wakil Presiden, Perdana Menteri UAE dan Penguasa Dubai dan kebenaran dari Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan bin Mohammed bin Rashid Al Maktoum. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button