Berita Utama

Demi dominasi Islam, kerusi majoriti Melayu perlu diisi calon muslim

Jangan letak calon MCA, MIC asyik kalah akhirnya suara Islam menipis

BANGI, 30 Syawal 1441H, Isnin – Rakyat perlu terus mendesak supaya parti-parti politik mengetengahkan calon muslim yang terbaik di kawasan majoriti pengundi Melayu dan Islam, bagi mengembalikan dominasi suara agenda muslim di Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. 

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, suara pro-agenda Islam dan Melayu sudah semakin menipis sejak parti Melayu memberikan laluan kepada MCA dan MIC di kawasan majoriti bukan majoriti muslim – kerana sering kalah di kawasan majoriti bukan Melayu. 

Atas sebab itu, parti lawan juga mula meletakkan calon bukan muslim di kawasan berkenaan dan akhirnya dilabel sebagai ‘kerusi tradisi calon bukan Islam’ atau ‘kerusi campuran’, katanya. 

“Ya, benar bahawa jumlah wakil rakyat Melayu Islam di Parlimen masih lagi majoriti tetapi mereka yang benar-benar pro-agenda Melayu dan Islam itu nampaknya bukan majoriti (ditambah pula dengan ahli Parlimen yang senyap sepi). 

“Inilah tugas-tugas parti-parti politik yang mendakwa bahawa mereka adalah pejuang bangsa dan agama untuk membuktikan dengan mengetengahkan calon-calon berwibawa untuk memperjuangkan agenda tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, rakyat juga perlu sedar bahawa figura pemimpin Melayu sudah semakin ramai dan parti juga banyak ditubuhkan. 

Bahkan, Haji Aminuddin berkata, wujud khabar angin untuk mengetepikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya kerana jumlah pembahagian kerusi yang sangat terhad. 

“Maka, amat munasabahlah jika kerusi-kerusi yang ‘dipinjamkan’ sebagai kerusi tradisi ini dikembalikan semula. Itu pun saya rasa tidak cukup jumlahnya, tetapi sekurang-kurangnya meringankan lagi masalah pembahagian kerusi dalam kalangan parti Melayu.

“Ada juga membangkitkan mengenai ‘hak bukan muslim untuk bertanding’. Sebenarnya, terlalu banyak kerusi lain yang boleh mereka tandingi,” katanya.

Haji Aminuddin berkata, di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sahaja sudah ada berpuluh kerusi yang majoritinya bukan muslim.

“Biarlah kedua-dua pihak berentap di situ, terutamanya MCA dan DAP (termasuk juga Gerakan). Memang parti-parti Melayu tidak akan pernah kacau atau meminta-minta untuk bertanding di sana pun. 

“Kami sebagai rakyat marhaen atas wadah NGO-NGO Islam akan terus menjadi ‘check and balance’ dalam apa jua isu dan agenda mengenai Islam dan Melayu.

“Ini adalah agenda kita bersama, bukan milik orang politik sahaja dan kami juga bahagian yang penting dalam sistem politik, sekurang-kurangnya sebagai pengundi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button