Berita UtamaDunia

Ilhak cetus bimbang Palestin akses ke Laut Mati

Pemilik resort risau kehilangan pelanggan, perniagaan terjejas

TEBING BARAT, 30 Syawal 1441H, Isnin – Rakyat Palestin bimbang akses terhad mereka terhadap perairan di Laut Mati dan pantainya yang kaya dengan mineral dikurangkan lagi jika Israel mengilhakkan (annex) tanah di Tebing Barat yang diduduki.

Israel, memetik sokongan dari Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan, rancangan untuk memperluas kedaulatan di beberapa bahagian Tebing Barat – termasuk Lembah Jordan yang sebahagiannya bersempadan dengan Laut Mati.

Rakyat Palestin telah menyuarakan kemarahan terhadap cadangan itu.

“Tempat ini adalah berkat bagi semua rakyat Palestin, tetapi jika ada aneksasi, sukar bagi mereka untuk sampai di sini. Mereka mungkin memerlukan permit,” kata Musa Farah, seorang penyelamat di salah satu resort kecil yang dikendalikan oleh Israel yang berada di pantai Laut Mati Tebing Barat.

Bahkan beberapa pemilik pusat peranginan Israel – yang didirikan setelah Israel menawan Tebing Barat dalam perang Timur Tengah 1967 – bimbang mereka boleh kehilangan pelanggan di bawah rancangan aneksasi.

“Perniagaan saya akan sangat terjejas. Kerajaan Israel harus tahu bahawa perniagaan saya bergantung pada orang Palestin yang berkunjung ke sini. Tempat ini terbuka untuk orang Yahudi dan Arab,” kata pemilik Biankini Village Resort, Dina Dagan.

Ketika rundingan damai – terhenti sejak 2014 – rakyat Palestin berusaha untuk mendapatkan kawalan terhadap sebahagian dari garis pantai Laut Mati dan mendirikan pusat peranginan, yang mereka anggap sebagai potensi keuntungan bagi ekonomi mereka.

Rakyat Palestin sudah lama mencari sebuah negara di Tebing Barat dan Gaza, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Kebanyakan negara memandang penempatan Israel di wilayah pendudukan sebagai haram. Israel bagaimanapun menolak perkara itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button