Berita UtamaDunia

7 tahanan Palestin di penjara Israel nekad teruskan mogok lapar

PBB gesa tamatkan dasar penahanan pentadbiran yang salahi undang-undang

TEBING BARAT, 24 Rabiulawal 1443H, Ahad – Kira-kira tujuh tahanan Palestin di penjara Israel nekad meneruskan mogok lapar sebagai tanda protes di atas penahanan mereka yang tidak adil tanpa perbicaraan.

Sehingga kini – peserta mogok paling lama – Kayed al-Fasfous mahu meneruskan mogok walaupun keadaan kesihatan semakin merosot ketika memasuki hari ke-109.

Selain itu, turut terlibat adalah Miqdad Qawasmeh yang memasuki hari ke-102 mogok diikuti Ala Aaraj (84), Jashem Abu Hawwash (75), Shadi Abu-Akr hari (68), Ayyad Hureimi (39) dan Lo’ai al-Ashqar genap dua minggu.

Kayed dan Miqdad sehingga kini masih ditahan di hospital berikutan masalah dehidrasi yang serius.

Kesemua mereka menuntut untuk menamatkan penahanan pentadbiran yang dikenakan tanpa perbicaraan.

14 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Israel telah membekukan penahanan pentadbiran ke atas Kayed yang kini dirawat di Pusat Perubatan Barzilai berikutan keadaan kesihatan kritikal.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, mahkamah meneruskan penahanan berkenaan walaupun keadaan kesihatan semakin merosot.

Dasar penahanan pentadbiran membolehkan pasukan tentera Zionis menahan rakyat Palestin selama-lamanya berdasarkan maklumat rahsia tanpa dibicarakan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) minggu lalu melahirkan rasa bimbang dengan keadaan peserta mogok, dan menggesa mereka dibebaskan atau membuat pendakwaan tahanan atau menamatkan sepenuhnya dasar penahanan pentadbiran yang menyalahi undang-undang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button