Berita Utama

Kaligrafi Cina sudah lama diajar, Dong Zong tak tahukah?: Netizen

Dakwa tak tolak Jawi, asalkan kaligrafi Cina, Tamil diperkenal

BANGI, 30 Syawal 1441H, Isnin – Terlalu banyak tuntutan! Demikian respon kebanyakan pengguna media sosial yang semakin ‘meluat’ dengan pertubuhan radikal, Dong Zong berhubung desakan supaya kerajaan mempertimbang perkenalan pembelajaran kaligrafi Cina dan Tamil di sekolah. 

Presidennya, Tan Tai Kim dilaporkan berkata, pembelajaran kaligrafi Cina dan Tamil itu boleh dilaksanakan bersama dengan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular, kononnya dalam usaha mempromosikan pelbagai budaya di antara sekolah-sekolah negara ini.

Tai Kim mendakwa, Dong Zong tidak pernah menentang pembelajaran Jawi, namun sebagai gantinya mendesak kerajaan mempertimbang mempromosikan pemahaman lebih baik mengenai budaya lain di kalangan murid.

Desakan pertubuhan rasis berkenaan bagaimanapun dihentam kebanyakan netizen yang menyifatkan Dong Zong terlalu berlebihan dalam setiap tuntutannya, meskipun ia jelas bertentangan dengan dasar pendidikan negara. 

“Saya hanya nak tahu, adakah Dong Zong benar-benar bimbang mengenai pendidikan Cina atau bimbang dengan diri sendiri? Bagaimana dia tidak tahu kaligrafi Cina sedang diajar?,” soal Mohd Izuan. 

“Tutup saja sekolah vernakular. Lepas itu ambil subjek elektif bahasa lain, bukankah itu lebih baik? Kata nak perpaduan yang lebih erat? Kena mulakan dari kecil. Dahlah duduk pun macam terasing dengan orang lain,” tulis Imran Razak. 

Turut senada, Azmin Hashim berkata, bagi meningkatkan pemahaman yang lebih baik di kalangan murid sepatutnya menghapuskan sekolah vernakular dan letakkan semua di bawah satu bumbung menerusi sistem pendidikan satu aliran. 

“China dan India yang perlu mempromosikan kaligrafi Cina dan India bukan Malaysia. China tersenyum kerana mereka tidak perlu menghabiskan satu Yuan untuk mempromosikannya kerana sudah dilakukan oleh Dong Zong,” katanya. 

“Apalah susah sangat, jadikanlah bahasa Mandarin dan Tamil sebagai pilihan di sekolah kebangsaan,” tulis Muhammad Hafiz.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata, selain tulisan Jawi, murid sekolah telah mengenali seni tulisan Cina dan Tamil sejak ia dilaksanakan kepada murid Tahun 1 pada 2011.

“Untuk makluman murid telah mula mengenali seni tulisan jawi, seni tulisan Cina dan seni tulisan Tamil sejak Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan kepada murid Tahun 1 mulai tahun 2011 dan pada tahun 2015, dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun 5 untuk sekolah jenis kebangsaan di bawah tema ‘Menghargai Budaya Bangsa’,” katanya dalam kenyataan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close