Berita Utama

KKM henti guna ubat anti-malaria rawat COVID-19

Berikutan statistik menunjukkan ubat itu tidak berkesan

PUTRAJAYA, 30 Syawal 1441H, Isnin – Kementerian Kesihatan (KKM) telah menghentikan penggunaan ubat anti-malaria, ‘hydroxychloroquine’ bagi merawat pesakit COVID-19 berikutan statistik yang direkodkan menunjukkan ubat itu tidak berkesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ubat tersebut digunakan sejak daripada awal rawatan COVID-19 lagi sebagai kategori ‘off label’, iaitu tiada kajian saintifik yang menunjukkan ubat berkenaan boleh digunakan untuk merawat penyakit berjangkit itu.

“Kita menggunakan ubat ini dengan ‘off label’ iaitu tidak ada indikasi untuk penyakit atau pesakit COVID-19. (Tetapi) Kita menggunakannya kerana ia ada antiradang atau antiinflamasi. Pada peringkat permulaan kita rasakan ia boleh ada kesan iaitu antiinflamasi.

“Tetapi apabila kita kumpulkan data, lebih 500 kes tiada kesan positif atau statistik tidak menunjukkan keberkesanan ubat tersebut. Bila tiada keberkesanan, kita dah hentikan ubat tersebut untuk penggunaan kita,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata kajian lanjut juga mendapati 30 peratus pesakit yang menggunakan ubat ‘hydroxychloroquine’ mendapat komplikasi dan sekiranya KKM berhasrat untuk terus menggunakan ubat tersebut, kesan sampingan atau komplikasi seperti terhadap jantung dan mata perlu dipantau.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada masa ini sembilan pesakit COVID-19 sedang dirawat menggunakan ubat antiviral Remdesivir.

Sementara itu, beliau berkata KKM akan melaksanakan satu kajian dalam tempoh terdekat bagi melihat respons antibodi pesakit yang dijangkiti COVID-19.

Jelasnya, terdapat laporan menyatakan antibodi hanya kekal dalam tempoh tiga hingga empat bulan sahaja.

“Kita perlu pantau dan melihat pada pesakit sama ada mereka masih ada antibodi tersebut ataupun tidak. Kita ada rawatan susulan untuk melihat dan kenal pasti (kerana) kebanyakan kes kita adalah pada peringkat kategori 1 dan 2 iaitu hampir 85 peratus.

“Apa yang kita kena pantau ialah kes kategori 4 dan 5, kalau mereka ada kerosakan contohnya pada paru-paru, akan dikesan sebelum mereka discaj,” katanya.

Beliau berkata sebarang komplikasi pneumonia COVID-19 contohnya kerosakan paru-paru akan dikesan sebelum pesakit didiscaj, melalui kaedah imbasan CT scan atau x-ray. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close