Berita Utama

Peduli apa DAP pada PKR, bukan boleh bagi kuasa

DAP hanya berkawan pada pihak boleh ‘ditunggang’ capai matlamat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 30 Syawal 1441H, Isnin – Neraca yang diguna pakai oleh DAP dalam memberikan sokongan kepada seseorang bukanlah kepada kewibawaan sebagai pemimpin dan kemampuan membangunkan kestabilan negara.

Namun, kata Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Negeri Sembilan, Ustaz Zamani Ibrahim, apa yang lebih penting bagi parti tamak haloba itu adalah siapa yang boleh ‘ditunggangnya‘ dan mampu memberikan ruang untuk ia berkuasa.

Oleh kerana itu, katanya, DAP tidak segan menyatakan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sekali gus membelakangkan sekutunya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“DAP tidak segan menyatakan sokongannya kepada Tun M, peduli apa dia kepada rakan PH iaitu PKR. DAP akan bersama kalau mereka dapat keuntungan tetapi DAP mudah saja untuk menyingkirkan sesiapa kalau ianya merugikan. 

“Perkiraan untung rugi itu sangat dipegang oleh semua pemimpin DAP. Dulu bertahaluf dengan PAS, kerana mereka nampak banyak keuntungan yang bakal diperolehinya. 

“Terbukti, mereka mendapat sokongan orang Melayu dengan sangat luar biasa masa itu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau menegaskan, kuasa bukan matlamat bagi DAP tetapi mereka perlukan kuasa untuk memperkasakan agenda DAP.

Antara agenda parti itu adalah bangsanya mampu mencaturkan pemimpin-pemimpin Melayu sehingga orang Melayu menjadi kuli kepada bangsanya di negara ini, kata Ustaz Zamani.

“Agenda untuk menjarah negara ini sehingga anak cucu kita nanti berkiblatkan negara China adalah matlamat penting yang dicanang oleh DAP sejak dahulu lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamani berkata, sudah cukup bagi Dr Mahathir, Anwar dan Parti Amanah Negara (Amanah) diperkudakan oleh DAP. 

“Bertindaklah dengan bijak. Anwar sewajarnya bertepatan dengan neraca syarak kalau dia membawa pimpinan PKR menyokong Perikatan Nasional (PN), biarkan DAP dengan anak susuannya PAN sebagai pembangkang. 

“Tindakan ini bukan sahaja memberikan kuasa dominasi kepada bangsa Melayu malah ia mampu memberikan kestabilan negara dan memacu untuk merangsang peningkatan ekonomi negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button