Berita Utama

Perlukah sayangi MCA setelah khianat ihsan Melayu?

Desak itu, ini pada ketika gagal raih sokongan bangsa sendiri

BANGI, 30 Syawal 1441H, Isnin – Sejak beberapa pilihan raya umum (PRU) yang lalu, sangat jelas bahawa parti komponen Barisan Nasional iaitu MCA tidak boleh menang di kawasan majoriti Cina.

Bahkan, kata Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin, MCA turut tidak boleh mendapatkan pengundi Cina untuk mengundi calon UMNO.

“Jadi mengapa UMNO, BN mahupun Muafakat Nasional patut memberi kawasan majoriti Melayu kepada MCA? Tidakkah pemimpin-pemimpin UMNO boleh nampak hujah bagi UMNO berbuat demikian, sudah tidak ada?

“Kenapa sayang sangat dengan MCA?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, salah satu perkara yang perlu orang Melayu beri perhatian adalah MCA tidak tahu berterima kasih. 

“MCA tidak membaca undi orang Melayu sebagai ihsan atau murah hati tetapi dilihat sebagai kelemahan orang Melayu. Mereka menuntut lebih dan lebih lagi,” katanya.

Prof Zainur Rashid berkata, pemimpin politik Melayu perlu menginsafi bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak membentuk 69 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia. 

“Kenapa harus terlalu bermurah hati untuk memberikan terlalu banyak kerusi Parlimen atau DUN kepada mereka dan kalah pula?,” katanya.

Pada PRU-14 lalu, MCA gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Malim apabila calonnya, Datuk Dr Mah Hang Soon (Timbalan Presiden MCA) yang menggantikan penyandang, Datuk Seri Ong Ka Chuan tewas kepada calon PKR, Chang Lih Kang dengan majoriti 5,358 undi.

Baru-baru ini, tersiar di media sosial beberapa foto pemimpin MCA sedang mengedarkan makanan ke sebuah perkampungan Orang Asli di kawasan DUN Behrang.

Bagaimanapun, BN Tanjung Malim menegur pemimpin MCA dan anggota partinya agar berhenti ‘bermain wayang’ dan tidak lagi mengharapkan kerusi Parlimen itu untuk bertanding pada PRU-15 akan datang.

Menerusi perkongsian di Facebook, Pengerusi BN Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, 60 daripada 63 Cawangan UMNO di kawasan itu telah mengusulkan supaya kerusi berkenaan ditandingi calon UMNO sendiri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button