Berita Utama

Semua perniagaan di Pahang boleh beroperasi hingga tengah malam

Wajib patuhi SOP normal baharu ditetapkan kerajaan negeri, MKN: MB

BANGI, 30 Syawal 1441H, Isnin – Pahang memutuskan untuk membenarkan semua jenis perniagaan beroperasi seperti biasa, tertakluk kepada waktu operasi bermula 7 pagi sehingga 12 tengah malam sahaja, kecuali bagi sektor yang dibenarkan mengikut Kelulusan Lesen Perniagaan Asal. 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua premis wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) asas normal baharu, termasuk melaksanakan saringan setiap hari ke atas pekerja dan pelanggan bagi mengesan gejala COVID-19. 

Beliau berkata, mana-mana pekerja atau pelanggan yang bergejala dan mempunyai suhu melebihi 37.5 tidak dibenarkan memasuki premis serta perlu dirujuk ke pusat perubatan. 

“Merekod maklumat pekerja dan pelanggan melalui aplikasi MySejahtera atau MoveOn.my setiap kali operasi. 

“Mengekalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter antara pelanggan atau pekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Wan Rosdy berkata, pemilik perniagaan juga perlu melaksanakan proses pembersihan dan disinfeksi, selain menyediakan tanda notis pematuhan SOP di dalam premis. 

Katanya, pekerja dan pelanggan juga diwajibkan memakai penutup hidung dan mulut sebelum masuk ke dalam premis.

“Kerajaan negeri juga bersetuju bahawa mana-mana syarat yang tidak dinyatakan secara khusus dalam SOP negeri adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan agensi kerajaan Persekutuan yang berkaitan, serta akan dikemas kini dari semasa ke semasa. 

“Adalah diingatkan agar semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan. Pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi penguat kuasa lain,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close