Berita Utama

Tun M, Anwar ‘bercakar’ lagi

Masih bersungguh nak jadi PM meskipun ditolak PKR...berehatlah Tun

BANGI, 1 Zulkaedah 1441H, Selasa – Drama perebutan jawatan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) antara Tun Dr Mahathir Mohamad serta Datuk Seri Anwar Ibrahim
masih belum menemui titik pengakhiran.

Terbaharu, Dr Mahathir menyatakan hasrat untuk meninggalkan PH Plus selepas PKR menolak cadangan beliau sebagai calon Perdana Menteri.

Bahkan, kata Dr Mahathir, beliau tidak akan lagi menghubungi PKR ataupun Presidennya untuk berbincang mengenai soal kerjasama antara kedua-dua parti, sebaliknya akan bekerjasama dengan DAP dan PAN.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan tidak akan bekerjasama dengan Anwar kerana mendakwa Presiden PKR itu tidak mahu bekerjasama dengannya.

“Saya perlu cari jalan lain untuk menjadi Perdana Menteri. Mungkin ada pilihan lain. DAP dan Amanah masih menyokong saya untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dalam wawancara dengan Channel NewsAsia (CNA) berkata, beliau sedia mempertimbangkan jawatan sebagai menteri kanan atau mentor menteri kepada Dr Mahathir, jika PH kembali berkuasa.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menegaskan bahawa tidak wajar Dr Mahathir diangkat semula untuk menjadi sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.

“Mereka bercakap mengenai menteri kanan (atau) menteri mentor macam Lee Kuan Yew. Saya terbuka untuk perbincangan (mengenai hal itu),” kata Presiden PKR itu.

Melihat persengketaan dalaman PH berhubung isu itu, Pengerusi MACSA, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menyarankan Dr Mahathir untuk berehat.

Beliau menerusi catatan di Facebook hari ini meluah rasa kesal apabila Dr Mahathir masih bersungguh-sungguh untuk menjadi Perdana Menteri meskipun cadangan itu ditolak PKR.

“Yang lain pun, berhentilah mempergunakan Tun. Sungguh tidak selesa membaca pernyataan itu, kononnya berasal dari seorang negarawan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button